KOTA KINABALU: Sebahagian Jalan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di hadapan Menara Kinabalu dan Jalan Utama Dewan Undangan Negeri (DUN) di Likas ditutup bermula 30 Disember hingga 31 Disember ini.
Penutupan itu dimaklumkan menerusi satu notis Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang dipaparkan di laman Facebook jabatan itu.
Berdasarkan notis berkenaan, penutupan jalan itu bermula jam 9 malam pada 30 Disember hingga 11.59 malam, 31 Disember.
Katanya, penutupan sebahagian jalan di kawasan itu bagi memberi laluan kepada penganjuran Karnival Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).
“Orang awam adalah dimaklumkan bahawa sebahagian Jalan PPNS dan Jalan Utama Dewan Undangan Negeri akan ditutup bermula pada jam 09.00 malam, 30 Disember 2024 sehingga 11.59 malam, 31 Disember 2024 untuk penganjuran Program Karnival UPPM.
“Laluan keluar/masuk ke Menara Kinabalu akan dikawal oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), manakala laluan keluar/masuk ke Menara Tun Mustapha (Bangunan Yayasan Sabah) dan Wisma Innoprise akan menggunakan laluan alternatif seperti peta di bawah.
“Orang awam dinasihatkan mematuhi arahan PDRM yang akan mengawal lalu lintas di lokasi tersebut,” kata notis berkenaan.
Sebelum ini, dua kumpulan turut merancang mengadakan perhimpunan aman di hadapan Menara Kinabalu pada masa dan tarikh yang sama, iaitu pada 31 Disember ini.
Kumpulan terbabit ialah Suara Mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang merancang Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah dan Gerakan Bangkit Sabahan yang merancang Himpunan Bangkit Sabahan Pertahankan Hak Sabah, Kami Bersama Hajiji. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad