LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 76 tahanan warga Filipina bagi Operasi Pemindahan Tahanan ke Negara Asal, semalam.
Penghantaran pulang bagi kategori Usir melalui laut itu dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua Pati yang ditahan di Depot Imigresen Imigresen Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut feri MV Ming Hai ke Pelabuhan Bongao, Filipina.
“Semua tahahan terdiri daripada 48 lelaki, 11 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tiga bulan hingga 76 tahun.
“Semua tahanan kanak-kanak balik ke negara asal dengan diiringi oleh ibu dan bapa atau penjaga yang sah,” katanya.

Menurutnya, semua tahanan asing balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri.
“Semua Pati berkenaan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963.
“Semua Pati terbabit akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Katanya, pada 2025 sehingga semalam, seramai 221 tahanan Pati warga Filipina direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 437 warganegara asing yang berjaya dipindahkan ke negara asal.
“Berdasarkan rekod statistik pemindahan tahanan asing ke negara asal daripada Sabah menunjukkan bidangan tertinggi yang dipindahkan adalah warga Filipina seramai 221 orang (50 peratus), diikuti oleh 165 warga Indonesia (37 peratus), 33 warga Pakistan (8 peratus), 12 orang warga China (3 peratus), tiga warga Vietnam (1 peratus) dan tiga orang lain-lain warganegara (1 peratus).
“Operasi pemindahan tahanan asing ke negara asal dari semasa ke semasa adalah tertakluk kepada pengeluaran segera dan berterusan Travel Dokument oleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia yang merupakan elemen penting bagi mempercepatkan proses pemindahan tahanan ke negara asal,” katanya.
Sementara itu, SH Sitti Saleha berkata JIM Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad