Remaja lelaki dilapor hilang di Keningau

KENINGAU: Remaja lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari maahad tahfiz di Keningau, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Mohammad Shaqmi Sulaiman, 13, pada jam 9 pagi.

Katanya, remaja terbabit telah lari dari asrama dan belum pulang sehingga hari ini.

“Usaha mencari sudah dilakukan tetapi gagal menemuinya. Alamatnya di Kampung Keramat, Jalan Baru, Semporna.

“Pakaian terakhir digunakan remaja itu baju biru gelap tertulis ‘Malaysia’, seluar panjang hitam dan kopiah hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sehubungan itu, Yampil berkata pihaknya memohon kerjasama orang ramai jika mempunyai maklumat berkenaan individu terbabit boleh berhubung terus dengan penolong pegawai penyiasat jenayah, Sarjan Majinam di talian 011-63148182 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran. – Info X