Seramai 593 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah sudah menerima dos kedua suntikan vaksin sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan.
Jumlah itu sudah mencecah hampir 70 peratus daripada pegawai yang didaftarkan untuk penerimaan vaksinasi berkenaan.
Pengarah JBPM Sabah Kamarulzaman Malik Abdullah berkata, JBPM Sabah mendaftarkan keseluruhan seramai 863 pegawai dan anggota kerana terbabit secara langsung dengan operasi kebombaan dan Covid-19.
Katanya, selebihnya yang masih belum menerima suntikan dos kedua itu dijangka akan selesai menjelang bulan Mei depan.
“Semua pegawai dan anggota ini dikenalpasti melaksanakan tugas-tugas barisan hadapan dan disenaraikan untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 dalam dua fasa program vaksinasi.
“Pemilihan membabitkan mereka yang berdepan risiko tinggi, mendapat atau menyebarkan jangkitan COVID-19 ketika melaksanakan tugas-tugas kebombaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Datuk Soiman Jahid ke JBPM Sabah, hari ini.
Kamarulzaman berkata, beliau berharap dengan adanya vaksinasi itu, aspek keselamatan pegawai dan anggotanya akan sentiasa terjamin dalam usaha menjalankan tugasan yang terbaik.
Sementara itu, Kamarulzaman berkata, walaupun kebanyakan pegawai dan anggota sudah menerima vaksinasi namun Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam menjalankan tugasan akan terus diamalkan.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan dan kelancaran tugas kebombaan berkualiti akan terus dapat dipamerkan pasukan berkenaan dengan cemerlang. – Asia Times

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad