Aidilfitri Ruang Erat Silaturahim, Kukuhkan Perpaduan – TYT Sabah

KOTA KINABALU, SABAH – Hari Raya Aidilfitri menyediakan ruang kepada rakyat untuk mengeratkan silaturahim serta mengukuhkan lagi perpaduan di negara ini.

Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin ketika menyampaikan Perutusan Hari Raya Aidilfitri 1445H berkata rakyat Sabah khususnya, perlu berusaha mencipta lebih banyak ruang perpaduan serta menamatkan ruang perpecahan seperti sikap ketaksuban yang melampau, baik dari sudut agama mahupun suku kaum.

“Pembangunan sesebuah negara tidak akan bermakna, andai sikap persefahaman, keharmonian, bertolak ansur dalam kehidupan masyarakat berbilang kaum diketepikan.

“SIKAP CAKNA TERHADAP PERPADUAN PERLU TERUS DIPUPUK DAN DIPELIHARA AGAR SEMUA PERANCANGAN UNTUK PEMBANGUNAN DAN PELAKSANAAN DASAR TERHADAP KESEIMBANGAN SOSIAL DAPAT DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA.

“Alangkah ruginya bila mana puluhan dekad yang telah kita lalui hidup bersama dalam keadaan aman, namun dalam sekelip mata ianya punah dan musnah disebabkan oleh perilaku dan kata-kata berbaur provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan rakyat.

“Perlakuan saling bermaafan, tradisi ziarah menziarahi dan menyantuni sahabat mahupun keluarga yang kurang bernasib baik sangat wajar serta memenuhi tuntutan agama.

“OLEH ITU, MOMEN INDAH AIDILFITRI INI SEWAJARNYA MENYINARI CAHAYA MURNI UMAT ISLAM DALAM MERAIKAN PERBEZAAN BUDAYA DENGAN MEMBUKA PINTU RUMAH MENYAMBUT KUNJUNGAN RAKAN SERTA JIRAN TETANGGA YANG BERLAINAN AGAMA.

“Ini bertepatan dengan maksud Islam iaitu suatu agama ciptaan Allah Subhanahu wa ta’ala (SWT) yang lengkap lagi sempurna, meliputi segala peraturan, undang-undang yang menganjurkan kesejahteraan, keamanan, keharmonian dalam penyusunan kehidupan manusia baik secara fardi (perseorangan), kekeluargaan, kemasyarakatan dan kenegaraan,” jelas beliau.

Selain itu, Tun Juhar menyeru rakyat agar terus mengekalkan toleransi antara kaum dan menolak keganasan serta ketaksuban yang akan memusnahkan keharmonian.

“Sedarlah bahawa negeri ini harus kita pertahankan serta selamat daripada perilaku keganasan, ketaksuban dan perbuatan meniupkan api kebencian terhadap sesuatu kaum mahupun agama.

“Di dalam Surah Al- Hujurat ayat 10-13, Allah SWT menekankan perlunya bersifat toleransi sesama umat Islam dan sentiasa berusaha mewujudkan perdamaian.

“Ayat tersebut juga turut menjelaskan bahawa perbezaan suku dan bangsa yang diciptakan Allah SWT bermatlamatkan untuk kita saling mengenal bukannya menimbulkan pertikaian,” ujarnya.

Dalam ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa ini, Tun Juhar menasihati rakyat agar menyedari tujuan utama sambutan hari raya dan bersederhana dalam menyambut Aidilfitri.

“Selain mensyukuri nikmat keamanan dan permuafakatan hidup bermasyarakat, kita juga perlu beringat dan sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku terhadap negeri mahupun negara kita.

“Kenyataan ini mungkin agak klise bagi mereka yang berkemampuan dan kurang terkesan dengannya.

“ANDAI DAPAT KITA IMBAS KEMBALI MATLAMAT MELAKSANAKAN IBADAH BERPUASA DI BULAN RAMADAN, MAKA SUDAH TENTU KITA JUGA DAPAT MENGIMPLIMENTASIKAN SEGALA TUNTUTAN AGAMA AGAR MEMILIH SIKAP BERSEDERHANA DALAM APA JUA KEADAAN.

“Elakkan pembaziran berlaku, berbelanjalah mengikut kemampuan kewangan kita, jangan cuba untuk meniru cara hidup orang lain, sebaliknya ukurlah baju di badan sendiri.

“Jadilah sebagai rakyat atau pengguna bijak dan lebih berhati-hati terhadap wang yang dibelanjakan,” kata Tun Juhar.

Pada Syawal yang mulia ini juga, Tun Juhar juga mengajak umat Islam agar membudayakan sedekah dengan menyantuni golongan fakir dan miskin.

“Melalui amalan bersedekah dengan menyantuni golongan fakir dan miskin seperti menyampaikan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barang keperluan harian.

“Amalan sedemikian dapat membentuk jiwa murni masyarakat dengan semangat kemurahan hati, empati dan rasa tanggungjawab atau prihatin terhadap golongan yang memerlukan.

“Oleh itu, sambutan hari raya lebih bermakna dengan menjadikan Aidilfitri sebagai platform memperkukuhkan perpaduan dan identiti budaya bangsa,” katanya lagi.

Tambah Tun Juhar, dalam keriangan menyambut Aidilfitri, semua pihak digesa agar terus menghargai pengorbanan pasukan keselamatan.

“Kita perlulah menghargai dan tidak melupakan pengorbanan yang dilakukan oleh pelbagai pihak khususnya membolehkan Aidilfitri disambut dalam suasana aman, tenteram, riang dan meriah, meski dalam keadaan sederhana.

“Ketika majoriti warga bercuti meraikan hari raya, terdapat kalangan rakyat yang sentiasa komited melaksanakan pelbagai tugas penting dan perlu mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari.

“Semoga pengorbanan mereka ini diterima Allah SWT sebagai amal soleh yang sangat bernilai di sisi-Nya,” ujarnya.

Mengakhiri perutusannya, Tun Juhar dan isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1445H, Maaf zahir dan batin. — JABATAN PENERANGAN SABAH