Buku ‘Sumpahan MA63’ satu peringatan dan inspirasi kepada semua: Wences

Wences berucap sebelum nelancarkan Sumpahan MA63.

Wences (tengah) bergambar bersama Madius (5 dari kiri) selepas buku dilancarkan.

PENAMPANG: Buku ‘Sumpahan MA63: Membangun Malaysia Perspektif Sabah’ adalah buku yang akan memberi inspirasi dan juga peringatan kepada perjuangan mendapatkan semula hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia.

Presiden Kongres Kebangsaan Momogun (MNC) Tan Sri Wences Angang berkata, sudah tiba masa seseorang menulis buku mengenai MA63 daripada perspektif simbolik dengan menggunakan perkataan ‘sumpahan’ tetapi mempunyai makna yang mendalam.

“Buku ini bukan sahaja mencatat sejarah, tetapi mengajak kita berfikir dan bertindak untuk masa depan Sabah yang lebih adil dan sejahtera.

“MNC berpegang kepada prinsip bahawa hak dan kedudukan Sabah dalam Malaysia mesti difahami melalui semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika melancarkan buku itu di Buhavan Square Donggongon pada Khamis.

Buku hasil nukilan Madius ini ditulis dua dalam satu iaitu satu bahagian ditulis dalam Bahasa Melayu dan satu lagi bahagian Inggeris bertajuk ‘Curse of MA63: Developing Malaysia Sabah’s Perspective’.

Wences memuji ketekunan dan keberanian Madius menulis buku ilmiah ini yang memerlukan usaha kajian yang gigih dan mengambil masa yang lama untuk disiapkan.

Madius katanya, telah mengupas dengan jelas bagaimana keadilan, maruah dan keseimbangan kuasa menjadi teras pembangunan sebenar dan apabila janji-janji dalam MA63 dipenuhi, maka semangat Malaysia yang sebenar akan terserlah.

“Namun apabila ia terabai, hubungan antara negeri dan persekutuan akan terjejas. Itulah peringatan yang tersirat dalam tajuk Sumpahan MA63.

“Perjanjian itu bukan sekadar dokumen undang-undang, tetapi asas persahabatan dan kepercayaan antara wilayah yang bersatu membentuk Malaysia.

“Dalam hal ini, buku yang dilancarkan pada hari ini sangat penting kerana ia menjelaskan bagaimana Sabah perlu dilihat sebagai rakan yang sama-sama membina negara yang setaraf, dengan tanggungjawab dan hak yang seimbang,” jelasnya.

Wences berharap buku Sumpahan MA63 ini akan menjadi bahan rujukan dan panduan kepada semua pihak dalam memahami perjalanan Sabah dan erti sebenar keadilan dalam Malaysia.

Ini katanya kerana buku ‘Sumpahan MA63’ ini menghimpunkan pemikiran yang mendalam tentang keadilan, tanggungjawab serta hala tuju pembangunan negeri Sabah dalam kerangka negara Malaysia.

Buku ini menyentuh soal perjuangan, maruah dan makna sebenar perkongsian dalam membina sesebuah negara.

“Ia menjadi pengingat kepada kita semua bahawa setiap janji yang termaktub dalam MA63 mempunyai roh dan semangat yang perlu dijaga serta dihormati,” katanya.

Sebagai Presiden MNC beliau membawa suara gabungan 77 persatuan anak negeri seluruh Sabah yang bernaung dibawah MNC.

Persatuan itu berada dalam etnik Momogun termasuk Dusun, Kadazan, Rungus, Murut, Tatana, Lundayeh, Kimaragang, Tobilung dan puluhan lagi etnik yang berkongsi semangat kekitaan serta nilai budaya yang kaya.

Beliau berkata, adat bagi masyarakat Momogun ialah panduan hidup yang menjaga keseimbangan antara manusia, alam dan komuniti. Apabila sesuatu dilakukan berlandaskan adat, di situlah terletaknya keadilan dan keharmonian.

“Sebagai masyarakat Momogun, kita sentiasa menyokong usaha pembangunan yang membawa manfaat kepada rakyat. Namun, setiap pembangunan perlu dilaksanakan dengan adil, berimbang, dan menghormati adat serta hak anak negeri.

“Kita mahu kemajuan yang tidak menghapuskan akar budaya kita. Kita mahu generasi muda Sabah menikmati peluang pendidikan dan ekonomi yang baik tanpa mengorbankan identiti mereka sebagai anak negeri,” tambahnya lagi.

Katanya, semangat ini selaras dengan roh Perjanjian Malaysia 1963 yang mengutamakan perkongsian kuasa secara adil serta pengiktirafan terhadap keunikan setiap negeri.

Selagi semangat ini dijaga, Sabah akan terus kuat manakala Malaysia akan terus kukuh, jelasnya.

Dalam hal ini katanya, MNC akan terus menjadi jambatan antara masyarakat akar umbi dan pihak pembuat dasar dan mahukan suara Momogun didengar di semua peringkat dengan cara yang membina dan berasaskan pengetahuan.

“Kita akan terus memperkukuh kesedaran tentang adat, melindungi tanah pusaka dan memastikan hak-hak anak negeri dipelihara dalam arus pembangunan moden,” katanya.