Pemuda UPKO Tamparuli Sokong Keputusan Keluar PH, Tegas Sabah Perlu Autonomi Sebenar

TAMPARULI: Pemuda UPKO Tamparuli melalui ketuanya, Maxolvin Sintore Gabu, menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan parti untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH), sambil menegaskan bahawa langkah tersebut penting demi mengembalikan maruah dan autonomi politik Sabah.

Menurut kenyataan itu, UPKO tidak pernah dihormati sepenuhnya dalam kerjasama PH, walaupun Presiden Datuk Ewon Benedick telah dipilih secara sah sebagai Pengerusi PH Sabah. Namun, pelantikan tersebut ditolak secara terbuka oleh PKR, sekali gus memperlihatkan bahawa PH Sabah tidak mempunyai autonomi sebenar dalam membuat keputusan politik di peringkat negeri.

“Segala proses rundingan kepimpinan dan pembahagian kerusi masih dikawal oleh pihak pusat. Ini bertentangan dengan semangat sebenar ‘Sabah First’,” tegas kenyataan itu.

Pemuda UPKO Tamparuli turut melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan dalam menunaikan tuntutan pemulangan 40 peratus hasil cukai kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perkara ini bukan sekadar janji politik, tetapi hak rakyat Sabah yang sepatutnya dihormati dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” menurut kenyataan itu lagi.

Sehubungan itu, UPKO kini bersedia untuk bertanding secara solo, namun kekal terbuka bekerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang berkongsi semangat ‘Sabah First’ dan mengutamakan kepentingan negeri melebihi politik pusat.

Pemuda UPKO Tamparuli menyeru semua parti tempatan supaya menyingkirkan ego dan membina perpaduan demi masa depan Sabah yang lebih bermaruah, adil dan makmur.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai calon UPKO di kerusi N14 Tamparuli, Pemuda UPKO Tamparuli menyatakan bahawa pihaknya sebulat suara menyokong Datuk Seri Panglima Madius Tangau untuk terus menawarkan kepimpinan beliau bagi mewakili rakyat Tamparuli.

Menurut mereka, kepimpinan beliau terbukti berkesan dalam memperjuangkan isu pembangunan serta membela suara rakyat di peringkat negeri dan persekutuan.