Dua banduan yang lari dari PKRC Tawau, kena tangkap balik. Saturang masih bebas

Dua daripada tiga banduan dan tahanan yang melarikan diri dari Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Dewan Arena, Tawau berjaya ditangkap semula, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kedua-dua suspek terbabit berjaya dikesan hasil maklumat orang awam.

Katanya, suspek, Hasyim Muhamamad Syata,34, berjaya ditangkap kira-kira jam 12.30 tengah hari di kawasan Tawau Lama, di sini.

“Manakala, Niko Matheus, 25, pula ditangkap di rumahnya di Kampung Kau Sing, Batu 6 Jalan Apas pada jam 5.30 petang,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Peter berkata, Hasyim merupakan tahanan polis yang sedang menjalani reman, sementara menunggu perbicaraan Mahkamah mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Niko pula adalah banduan yang sudah dijatuhi hukuman empat tahun penjara oleh Mahkamah Tawau mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah dan curi.

“Pihak polis masih memburu seorang lagi suspek Jimnajir Annor,23, yang masih bebas dan orang ramai diminta untuk memberikan maklumat sekiranya mengetahui keberadaan suspek,” katanya.

Sementara itu, Peter mengucapkan terima kasih kepada masyarakat yang sama-sama membantu menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya diberkas dalam masa singkat.

Terdahulu, kesemua suspek adalah antara 16 banduan dan tahanan yang ditempatkan di PKRC berkenaan selepas disahkan positif COVID-19 bagi tujuan pengasingan dan rawatan.

Bagaimanapun, banduan terbabit bertindak melarikan diri dengan mengumpil jeriji besi pada tandas sebelum melompat pagar Dewan Arena. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *