Jualan barangan tiruan, sembilan kedai di KK kena serbu

Sembilan premis menjual perkakasan rumah diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah selepas didapati menjual barangan tiruan, semalam.

Operasi yang dijalankan secara serentak itu membabitkan empat premis di Kota Kinabalu manakala lima lagi di daerah Sandakan dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan wakil pemilik cap dagang.

Pengarah KPDNHEP Sabah Georgie Abas berkata, hasil serbuan dan pemeriksaan mendapati sebanyak 314 unit pelbagai jenis perkakasan rumah seperti engsel pintu, set kunci untuk pintu dan lain-lain yang disyaki tiruan.

Katanya, semua barangan yang dianggarkan bernilai RM4,504.80 itu disita mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

“Operasi ini dijalankan hasil daripada maklumat yang diterima berhubung penjualan perkakasan rumah yang disyaki tiruan jenama “Eloy”, “M.Coros”, “Vago”, “Bliton” dan “Asuma”.

“Maklumat berkenaan diterima daripada pejabat peguam Joel & Mei, yang bertindak sebagai wakil kepada pemilik cap dagang berdaftar iaitu Crystal Triumph Sdn. Bhd,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, semua pemilik premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan kes disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai barang-barang dengan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah.

Katanya, jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000.00 bagi setiap barangan.

“KPDNHEP akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

“Para peniaga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dan menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” tegasnya. – Asia Times