KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menzahirkan penghargaan kepada Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah, bermula 1 Januari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata selepas 14 tahun, Tun Juhar adalah Yang di-Pertua Negeri paling lama berkhidmat dan memberi sumbangan yang begitu besar kepada Sabah.

“Tuan Yang Terutama (TYT) Tun telah mencurah khidmat yang tiada tolok banding, yang menyaksikan pelbagai insiden dan perkembangan yang melibatkan kerencaman dan dinamika dunia politik, ekonomi, keselamatan, kesihatan, pendidikan, keagamaan dan sebagainya.
“Perkembangan ini berlaku semasa beliau memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri ke-10 dan telah meletakkan beliau dalam kedudukan yang baik sebagai seorang pemimpin yang berpengalaman dan berjiwa besar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis santapan negeri bagi menghargai TYT Tun Juhar di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini malam ini.
Hajiji berkata antara peristiwa yang tercatat dalam sejarah Sabah ketika tempoh perkhidmatan Tun Juhar termasuk insiden pencerobohan oleh warga asing di Tanduo pada 2013 dan pandemik COVID-19 yang bermula pada akhir 2019 hingga awal 2022.
“Kedua-dua insiden itu telah meletakkan rakyat Sabah ke dalam situasi yang mencabar. Banyak nyawa terkorban.
“Alhamdulillah, di bawah naungan TYT Tun, kita telah berjaya mengatasi cabaran ini. Rakyat Sabah tidak kira bangsa, budaya, agama dan kepercayaan sentiasa menunjukkan kasih sayang dan keprihatinan mereka kepada TYT Tun dan isteri Yang Amat Berbahagia Toh Puan Norlidah Tan Sri RM Jasni dalam semua program awam yang mereka jayakan,” katanya.
Hajiji berkata kepimpinan kerajaan negeri dan rakyat Sabah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Juhar atas kepimpinan cemerlang sepanjang 14 tahun memerintah dan mendoakan beliau serta Toh Puan Norlidah sentiasa baik dalam perjalanan mereka seterusnya. – Info X

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad