RM124.7 juta untuk sektorperindustrian dan keusahawanan tahun depan

KOTA BELUD: Kerajaan negeri memperuntukkan RM124.7 juta bagi membangunkan sektor perindustrian dan keusahawanan negeri pada tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sehubungan itu berharap usahawan dan koperasi di negeri ini, termasuk Kadamaian mengambil setiap peluang yang disediakan kerajaan agar lebih berdaya saing.

“Kerajaan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) turut memberi tumpuan dalam pembangunan usahawan dan koperasi yang secara langsung dapat menyumbang kepada peningkatan sosio ekonomi masyarakat di negeri ini.

“Ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk terus menyokong dan memperkasa sektor keusahawanan melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan usahawan serta koperasi di negeri ini.

“Saya percaya dengan segala bantuan yang disediakan kerajaan, lebih banyak lagi yang boleh dibangunkan oleh usahawan atau koperasi di negeri ini termasuk di Kadamaian, khususnya dalam sektor pelancongan dan pertanian,” katanya.

Hajiji menyerahkan replika kunci kepada penerima Rumah Mesra SMJ di Kadamaian.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Madani KUSKOP Bersama Komuniti Kota Belud sempena Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024 di Dewan Kadamaian Square, Taginambur, di sini pada Isnin.

Ketua Menteri turut memuji usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang terus membantu usahawan Perusahaan, Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri juga bersedia untuk meningkatkan lagi jaringan kerjasama dengan KUSKOP dalam pelaksanaan program yang lebih berimpak tinggi bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa dalam konteks keusahawanan dan masyarakat setempat.

“Saya juga saya amat menghargai pencapaian yang direkodkan oleh KUSKOP yang sentiasa komited dalam membantu usahawan PMKS dan koperasi termasuk komuniti penjaja dan peniaga kecil ke arah memperkasa ekosistem keusahawanan dan gerakan koperasi.

“Saya berharap KUSKOP akan terus membantu usahawan PMKS bukan saja di Kadamaian, malah di seluruh negeri ini. Semoga segala usaha yang dilaksanakan KUSKOP akan memberikan manfaat kepada usahawan dan koperasi dalam mengukuhkan kelangsungan perniagaan,” katanya.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Rumah Terbuka Krismas Kadamaian 2024 di Dewan Kadamaian Square, Taginambur.

Dalam pada itu, Hajiji berharap Pelan Pembangunan Kadamaian yang dilancarkan pada 2020 akan terus menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan di Kadamaian, demi manfaat rakyat setempat.

Justeru, katanya kerjasama dan perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini perlu dikekalkan kerana ia sangat penting untuk membangunkan sosio ekonomi masyarakat di samping dapat mengukuhkan nilai perpaduan secara keseluruhannya.

Mengenai sambutan Rumah Terbuka Krismas Kadamaian, Hajiji turut mengajak semua rakyat negeri ini untuk bersama-sama terus mengeratkan perpaduan, keharmonian dan saling menghormati.

“Kita perlu meraikan nilai-nilai bersama dan menghayati keindahan kepelbagaian yang ada di negeri ini. Semoga sempena Krismas ini, ia dapat membawa kedamaian dan kasih sayang kepada kita semua,” katanya. – Info X