BEAUPORT: Kerajaan persekutuan akan memandang dengan lebih serius berkaitan masalah capaian internet di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata, masalah berkenaan sebenarnya bukan saja berlaku di Sabah dan Sarawak, tetapi juga di seluruh negara.
”Oleh itu, di peringkat kementerian kita telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Telekom Malaysia Bhd (TM), Tan Sri Mohd Bakke Salleh mengenai masalah ini.
”Hari ini kita juga adakan pertemuan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk melaksanakan kerjasama untuk menyelasaikan masalah internet di kawasan luar bandar.
”Kita tahu denyut nadi rakyat dan mana kawasan yang memerlukan internet…oleh itu sekiranya SKMM ada peruntukan boleh serahkan kepada kementerian kita dan kita akan atur,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Kepada Sukarelawan Penyedia peralatan perlindungan diri (PPE) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Sabah di Tabika Kemas Kampung Muhibbah, di sini, hari ini.
Terdahulu, sebanyak 81,345 set PPE berjaya dihasilkan sukarelawan Kemas di seluruh negara setakat ini bagi membantu petugas barisan hadapan mengawal penularan Covid-19.
Abdul Latiff berkata, sukarelawan yang terlibat merupakan 1,002 orang terdiri daripada tenaga mahir terlatih, kakitangan dan peserta kelas kemahiran Kemas.
Mereka menghasilkan set PPE yang merangkumi gaun isolasi, tudung dan tali pengikat gaun yang dijahit sejak Mac lepas sebagai sumbangan kepada petugas barisan hadapan dalam membendung wabak Covid-19.
“Seramai 365 tenaga pengajar yang mahir dalam bidang jahitan bersama peserta kelas jahitan di seluruh negara menawarkan diri secara sukarela untuk menyediakan PPE dalam memerangi pandemik Covid-19 yang melanda negara.
”Sebanyak 6,650 set PPE telah dihasilkan oleh 70 orang sukarelawan Kemas di Sabah terdiri daripada tenaga mahir dalam bidang kemahiran jahitan dari empat daerah iaitu Sandakan, Penampang, Silam dan Kudat,” katanya lagi.-http://beritasabah.com

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad