KKMM bakal umum polisi bantu rancakkan pertumbuhan industri pemula niaga

[ad_1]

SHAH ALAM, 29 Jan (Bernama) — Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bakal mengumumkan beberapa polisi bagi membantu merancakkan pertumbuhan industri pemula niaga pada pertengahan tahun ini.

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata polisi yang disifatkan sebagai dokongan kepada perkembangan industri itu merupakan antara usaha kerajaan untuk terus menyokong pertumbuhan syarikat-syarikat pemula niaga yang kini dilihat membangun dengan pesat serta kukuh.

“Jika kita lihat dari segi teknologi masa kini dan masa akan datang termasuk Revolusi Industri 4.0, ini (industri pemula niaga) antara industri yang penting dan saya berpendapat bahawa kerajaan perlu memberikan sokongan dan dokongan untuk menjayakannya.

“Disebabkan itu, kita perlu memberi penekanan dan fokus kepada industri ini kerana ia adalah satu perkara yang dibangkitkan di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Usaha Niaga HeiTech anjuran HeiTech Padu Berhad (HeiTech) di sini, hari ini.

Program berkenaan diwujudkan khusus untuk menyokong pertumbuhan industri pemula niaga dengan menyasarkan penyertaan syarikat yang terlibat dalam pembangunan penyelesaian inovatif merangkumi bidang perkhidmatan kewangan, sekuriti, pendidikan serta kesihatan.

Gobind berkata negara juga mempunyai ekosistem industri pemula niaga yang semakin baik apabila banyak individu tampil dengan pelbagai idea untuk diketengahkan bagi mengembangkan lagi industri tersebut, namun mereka dilihat perlu dibantu daripada aspek kewangan serta teknikal.

“Disebabkan itu, apabila kita ada individu dengan idea, mereka perlu ditunjukkan bagaimana idea itu boleh diketengahkan seterusnya menjayakan projek mereka.

“Inilah yang kita sebut sebagai pemodal teroka, yang mana wujud pihak selaku penerima idea memberi bantuan dan mengkaji tahap kejayaan idea tersebut untuk menentukan hala tuju serta keboleh pasarannya,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada HeiTech atas usaha syarikat tersebut membantu syarikat-syarikat pemula niaga menjayakan idea serta projek mereka dan menyifatkannya sebagai petanda baik daripada sektor swasta untuk bersama-sama dengan kerajaan memperhebat lagi industri berkenaan.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai isu pembinaan infrastruktur 5G di Malaysia oleh syarikat telekom gergasi China iaitu Huawei, Gobind berkata walaupun terdapat pelbagai pandangan, namun adalah lebih baik jika ia dilihat daripada aspek untuk memastikannya menjadi sebuah sistem yang selamat.

“Kita menjangkakan ia adalah teknologi yang akan mengubah keadaan dan bagaimana teknologi berfungsi pada tahun-tahun akan datang. Kita sedang dalam proses mengkaji projek perintis menggunakan 5G di Cyberjaya dan Putrajaya dan sudah tentu terdapat banyak kebimbangan yang telah dibangkitkan.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengkaji semua (isu 5G) dan mereka akan mengeluarkan laporan. Saya tidak memberikan mereka tarikh akhir (untuk menyelesaikan laporan). Apabila laporan siap, kita akan lihat apakah tindakan yang boleh dan wajar untuk dilakukan,” katanya.

Pada 19 Jan lepas, semasa di London, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan menjalankan kajian terlebih dahulu untuk mendapatkan butiran sebelum bertindak menyekat syarikat Huawei daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan kebimbangan berhubung pengintipan siber yang semakin meningkat dalam kalangan negara barat.

— BERNAMA



[ad_2]