BELURAN: Klinik Kesihatan Tangkarason, di sini yang memberikan perkhidmatan kesihatan kepada warga Kampung Tangkarason serta kawasan sekitarnya sejak 1982 musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.
Kejadian itu juga turut memusnahkan kuarters pekerja namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.08 pagi.
Katanya, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera pemadam dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 215 kilometer dari jarak balai.
“Kebakaran membabitkan sebuah Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason Beluran dan kuarters pekerja terbakar sepenuhnya semasa pasukan bomba tiba di lokasi.
“Pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air terbuka iaitu kolam berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 6:20 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Sementara itu, salah seorang penduduk yang ditemui di lokasi kejadian berkata, ketika kebakaran itu, perasaannya sukar digambarkan apabila satu-satunya klinik kesihatan di kawasan Mukim Tangkarason, Paitan musnah.

Katanya, klinik kesihatan ini memberikan perkhidmatan kesihatan sejak sekian lama kepada warga Tangkarason dan kampung yang ada disekitarnya.
“Tiada apa yang sempat diselamatkan, peralatan klinik, ubat-ubatan dan dokumen semuanya terbakar termasuk sebuah unit rumah yg diubahsuai menjadi tempat tinggal kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Hanya rumah jururawat yang dapat diselamatkan oleh orang kampung yang berusaha memadamkan kebakaran terbabit,” katanya sambil menambah punca kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas.
Beliau harapkan agar kerajaan dapat mewujudkan bangunan klinik kesihatan baharu dalam tempoh terdekat untuk kegunaan penduduk di sini.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad