KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disaran mengenakan kompaun maksimum RM500 kepada mana-mana ‘kutu sampah’ atau individu yang dikesan membuang sampah merata-rata di bandar raya ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Christina Liew, berkata denda yang tinggi perlu dikuatkuasakan jika mahu mendapatkan hasil yang diharapkan.
Katanya, beliau amat menyokong penguatkuasaan sepenuhnya Undang-Undang Kecil Anti Sampah Sarap 1984 (Pindaan 2005) yang memberi kuasa kepada DBKK untuk mengeluarkan kompaun sehingga RM500 dan tindakan mahkamah terhadap kutu sampah.
“Kenapa tidak menimbangkan secara serius untuk mengenakan denda kompaun mandatori sebanyak RM500 serta-merta.
“Ketika ini kesalahan membuang sampah boleh diminta membayar kompaun tidak melebihi RM500 di bawah Undang-Undang Kecil Anti Sampah.
“Pemahaman saya, selalunya kompaun yang dikenakan sangat rendah di bawah RM500 dan boleh menjadi sekecil RM30. Ini sudah tentu tidak dapat menjadikannya sebagai penghalang (untuk mengulangi perbuatan membuang sampah merata tempat),” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini, DBKK melaporkan jumlah sampah yang banyak hingga kira-kira 200 kilogram ditinggalkan pengunjung di taman awam Segama Waterfront ketika cuti Aidilfitri, minggu lalu.
Berikutan itu, DBKK meningkatkan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil Anti Sampah bagi mengambil tindakan terhadap orang ramai yang dikesan membuang sampah merata tempat.
Christina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api, berkata DBKK perlu melaksanakan kuasanya dalam usaha menjaga kebersihan bandar raya, termasuk menangkap kutu sampah dan mengheret mereka ke mahkamah.
“Kita harus belajar daripada Singapura yang mengenakan denda tinggi atas kesalahan di bawah Akta Kesihatan Awam Alam Sekitar (EPHA).
“Di negara itu, denda bagi kesalahan pertama apabila disabitkan dinaikkan sekali ganda daripada $1,000 ke $2,000, manakala denda untuk kesalahan kedua mencecah $4,000,” katanya.
Sementara itu, Christina memuji tindakan segera diambil DBKK bagi membersihkan sampah sarap yang ditinggalkan pengunjung pada cuti Aidilfitri lalu dan menggesa supaya lebih banyak tong sampah disediakan di kawasan tumpuan pengunjung di bandar raya ini.
Katanya, beliau juga mengarahkan Pusat Perkhidmatan DUN Api-Api untuk melaksanakan kempen kebersihan bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan awam dan mendidik orang ramai mengenai kepentingan hidup dalam persekitaran yang bersih. – Info X
More Stories
Hormati Hari Ibadah: Cadangan Ahli Parlimen Tuaran Terima Sokongan Pelbagai Pihak
Hormati Hari Ibadah: Madius Seru SPR agar Penamaan Calon dan Hari Mengundi Selaras Prinsip Rukun Negara
329 Pelajar MRSM Ranau Sertai Program Laluan Kerjaya STEM: Geologi