LELAKI HILANG SUNGAI KAGIBANGAN DITEMUI LEMAS

RANAU: Lelaki yang hilang selepas keluar menangkap ikan di Sungai Kagibangan, Kampung Bitoon, Ahad lalu, ditemui mati lemas, hari ini.

Mangsa Junaidi Jaukan, 31, ditemu kira-kira jam 1.26 tengah hari di Sungai Kolowoton, Kampung Mantapuk Miruru, kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian, jam 1.26 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat dan penduduk kampung yang turut membantu bomba dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Operasi hari ketiga bersambung dengan operasi pencarian ‘surface searching’ (pencarian di permukaan) dari lokasi kejadian pada jarak 10 hingga 30 kilometer di sungai berkenaan.

“Operasi mencari dan menyelamat turut menggunakan bot penduduk kampung.

“Kira-kira 30 kilometer dari lokasi kejadian, mayat mangsa akhirnya ditemui oleh penduduk kampung dan pasukan penyelamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ridwan berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ahad lalu, mangsa yang berasal dari Kampung Bitoon, dikatakan keluar menangkap untuk ikan dan tidak pulang ke rumah menyebabkan ahli keluarganya membuat laporan kepada BBP Ranau.

Susulan itu, pihak berkuasa mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada jam 10.15 pagi, kelmarin.