LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang daripada tiga lelaki selepas dipercayai cuba menyeludup minyak masak ke negara jiran di sini.
Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, suspek berumur 40 tahun itu ditahan bersama 35 kotak minyak masak paket satu kilogram di kawasan pesisir pantai Kampung Takun, Tungku kira-kira jam 10.30 malam.
Katanya, PPM Lahad Datu yang membuat risikan dan pemantauan di kawasan pantai berkenaan mengesan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan sebuah kenderaan pacuan empat roda.
“Terdapar longgokan kotak minyak masak di atas tanah bersebelahan dengan kenderaan itu.
“Sebaik pasukan serbuan menghampiri kawasan itu, tiga lelaki bertindak melarikan diri.
“Pasukan serbuan kemudian mengejar dan berjaya menahan seorang daripada tiga lelaki terbabit,” katanya dalam laporan Utusan Borneo hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan menemukan longgokan minyak masak berjumlah 35 kotak berisi 595 bungkusan satu kilogram di atas tanah berdekatan dengan kenderaan.
“Hasil pemeriksaan suspek gagal mengemukakan apa-apa dokumen pengesahan pemilikan barang-barang bersubsidi.
“Semua minyak masak itu dipercayai diseleweng atau diseludup ke negara jiran,” katanya.
Katanya keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM101,487.50 dan tangkapan dibawa ke markas operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
More Stories
Pelajar asrama Kolej Vokasional Lahad Datu meninggal dunia kena ‘kuruyuk’
Baru dia tau! Kes pecah masuk stesen minyak dan kedai elektrik, saturang buruh kasar ditahan di KK
Jual senjata api tiruan, seoarang wanita ditahan di Papar