TAWAU: Seorang lelaki ditemui lemas selepas hilang ketika melakukan aktiviti memancing di Sungai Kampung Pitas Bombalai, di sini, petang tadi.
Mayat mangsa, Arippin Daud, 49, ditemui oleh penduduk kampung berhampiran dengan perahu miliknya kira-kira jam 3.53 petang.
Mangsa dikatakan keluar menjalankan aktiviti memancing pada jam 6 pagi, namun perahu mangsa ditemukan penduduk tanpa pengemudi kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehilangan mangsa pada jam 2.06 petang.
Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Sebaik tiba, pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus menjalankan operasi menggunakan teknik ‘Surface water rescue’.
“Mangsa ditemukan oleh penduduk kampung berdekatan dengan perahu milik mangsa pada jam 3.53 petang dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir di lokasi kejadian, sebelum operasi ditamatkan pada jam 3.55 petang,” katanya. – Info X

More Stories
Pelajar UMS Buat Lawatan Sambil Belajar, Kenali Operasi Industri Makanan
ToT Pemindahan Teknologi Pendidikan Perkasa Praktis Kerja Sosial Pelajar UMS
Jom Jumpa PROTÉGÉ, platform dunia keusahawanan sebenar