KUALA LUMPUR: Sebanyak 472 menara komunikasi baharu telah siap dibina di Sabah sebagai inisiatif meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar di negeri ini.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah berkata, terdapat 71 menara juga masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada suku pertama 2021.
“Pada masa yang sama sebanyak 1,163 stesen pemancar di menara komunikasi sedia ada telah dinaik taraf manakala lima stesen pemancar masih dalam peringkat pelaksanaan di Sabah dan dijangka siap pada suku keempat 2020.
“Menerusi inisiatif penyediaan perkhidmatan selular awam juga, sekurang-kurangnya 115 menara baharu akan dibina di Sabah yang merangkumi pembinaan menara komunikasi dengan perkhidmatan jalur lebar yang masih dalam peringkat perancangan di Sabah,” katanya.
Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO – Tuaran), dalam persidangan Dewan Rakyat, Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di sini, pada Rabu.

Dalam soalannya, Madius yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta penjelasan tentang langkah-langkah yang telah, sedang dan akan diambil untuk memastikan capaian internet dengan kelajuan tinggi di Sabah akan tersebar luas terutama dengan penggunaan ‘fibre optic’.
Saifuddin berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan adalah Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara.
“Lebih daripada 48 ribu sambungan telah tersedia melibatkan penaiktarafan 41 ibu sawat di Sabah, manakala 924 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat pada tahun 2020.
“Selain daripada itu, sebanyak 10 stesen pemancar 4G baharu serta 266 penaiktarafan telah dilaksanakan secara komersial oleh pihak Pemberi Perkhidmatan di Sabah yang telah siap dan beroperasi pada tahun 2020.
“Tambahan lagi, sebanyak 13,792 premis di Sabah akan disediakan dengan capaian sehingga 500Mbps melalui inisiatif peluasan rangkaian gentian optik talian tetap,” katanya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap inisiatif penaiktarafan perkhidmatan berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik akan dilaksanakan, dan sebanyak 43,879 pelanggan di Sabah akan dinaik taraf dalam tempoh dua tahun.
“Pada masa yang sama, KKMM sedang mengadakan sesi perancangan bersama pihak industri melalui Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang bermula dari 13 Julai sehingga 14 Ogos 2020 untuk memastikan semua kawasan yang berpenduduk mendapat liputan yang secukupnya,” ujar beliau.
Dalam pertanyaan bagi jawapan lisan itu, Madius juga meminta penjelasan tentang bilakah negeri Sabah akan mendapat lebih banyak spektrum supaya lebih banyak saluran radio dapat diwujudkan.
“Untuk makluman, suatu kajian perancangan semula jalur frekuensi 87.5 MHz sehingga 108 MHz untuk perkhidmatan penyiaran radio FM sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan dijangka akan selesai pada suku keempat tahun 2020.
“Pelaksanaan perancangan semula spektrum termasuk kemungkinan penambahan saluran untuk perkhidmatan penyiaran radio FM adalah tertakluk kepada hasil kajian tersebut,” jelas Saifuddin.-http://beritasabah.com
More Stories
Gabungan GRS-PH Plus tentukan hala tuju politik Sabah hadapi PRN – Armizan
Tamu Desa Kampung Pelakat jadi pusat aktiviti keusahawanan komuniti jual produk pertanian, hasil laut di Sipitang
Aksi akhir Liga Super: Peluang pemain muda tunjuk kualiti