Majlis Peguam bimbang kesan jangka panjang hukuman terhadap Malaysiakini

Majlis Peguam Malaysia menyuarakan kebimbangan berhubung kesan jangka panjang terhadap kebebasan media selepas Mahkamah Persekutuan mendenda Malaysiakini RM500,000 kerana menghina mahkamah.

Presidennya Salim Bashir turut menggesa masyarakat supaya tidak menyalahgunakan hak kebebasan bersuara “dengan menulis komen yang buruk dan berniat jahat dalam talian dan di media”.

Beliau turut meminta undang-undang penghinaan diperjelaskan lagi bagi memberikan definisi yang tepat mengenai konsep seperti “menghina mahkamah” bagi mengelak ketidakpastian.

Salim berkata, denda RM500,000 ke atas Malaysiakini terlalu tinggi dan berlebihan. Jumlah yang lebih rendah sudah cukup untuk menunjukkan mahkamah tidak bersetuju.

Mkini Dotcom Sdn Bhd, syarikat yang mengendalikan Malaysiakini, didenda RM500,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan menerbitkan komen pembaca tahun lalu.

Ketua Pengarangnya Steven Gan, bagaimanapun didapati tidak bersalah.

Salim berkata, ciri komen itu penting untuk perbincangan orang ramai.

Namun, keputusan mahkamah akan membawa kesan jangka panjang terhadap penggunaan media sosial kecuali ada mekanisme penyaringan yang ketat untuk setiap komentar.

Susulan keputusan itu, semua pemilik platform media sosial kini berkemungkinan mengambil langkah berjaga-jaga seperti menutup bahagian komen mereka untuk mengelak sebarang kesan buruk, katanya.

Salim berkata, mahkamah seharusnya mempertimbangkan untuk memberi kelonggaran kerana Malaysiakini sudah meminta maaf dan mengeluarkan semua komen itu.

facebook sharing button