KUALA LUMPUR: Sweden dan Malaysia melancarkan Cabaran Inovasi Kesihatan Digital dengan mempelawa syarikat pemula niaga tempatan untuk membantu menangani prevalens penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.
Inisiatif itu merupakan kerjasama melibatkan Team Sweden yang terdiri daripada Kedutaan Sweden, Business Sweden dan AstraZeneca, manakala Team Malaysia dianggotai oleh Sunway iLabs, Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka memaklumkan cabaran inovasi itu bertujuan mengenal pasti penyelesaian yang dapat memperkasa penghidap NCD dan komuniti berisiko tinggi untuk mengurangkan faktor risiko penyakit ini secara proaktif dengan menggalakkan kehidupan sihat dan meningkatkan akses kepada peralatan digital untuk pemantauan dan penjagaan diri.
Pesuruhjaya Perdagangan Sweden ke Malaysia Sara Hedin berkata cabaran itu merupakan peluang keemasan kepada syarikat pemula niaga untuk mencari penyelesaian daripada pelbagai sudut dan bekerjasama dengan rakan niaga untuk bertukar pengetahuan dan meningkatkan rentas sempadan.
“Pemula niaga yang terpilih akan mendapat akses terhadap program inkubasi, rangkaian inovasi global dan pementoran dan pendanaan, serta peluang bekerjasama dengan rakan niaga untuk menangani cabaran penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.
Ketua Pegawai Inovasi Sunway Bhd dan Pengarah Sunway Innovation Labs, Matt Van Leeuwen berkata, adalah penting untuk sektor awam dan swasta untuk bersama-sama menyelesaikan masalah masyarakat yang meluas ini sehingga boleh menjejaskan mereka.
“Saya yakin bahawa inisiatif ini merupakan contoh yang baik mengenai bagaimana kita berupaya mempercepatkan inovasi penjagaan kesihatan dipacu pasaran daripada usahawan berbakat dengan memanfaatkan ujian korporat dan rangkaian antarabangsa,” katanya.
Permohonan itu dibuka mulai 15 Jan hingga 15 Feb 2021 menerusi borang permohonan cabaran inovasi kesihatan digital.

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad