KOTA KINABALU: Persatuan Penderma Darah Sabah (Pendarah) menggesa kerajaan supaya memberikan ‘cuti Istimewa’ iaitu cuti sehari tanpa rekod sebagai penghargaan kepada penderma darah untuk memberi peluang lebih ramai kakitangan kerajaan dan swasta tampil menderma darah.
Presiden Pendarah, Alix Sunggin berkata, insentif itu (cuti istimewa) boleh menjadi satu kempen percuma dan secara halus untuk memberi kesedaran dan menarik lebih ramai individu tampil menderma darah untuk membantu menyelasaikan masalah kekurangan bekalan darah di semua hospital kerajaan.
Katanya, darah hanya diperoleh daripada pendermaan sukarela. Ia tidak dapat diproses atau dibeli seperti ubat-ubatan. Tanpa penderma, tidak akan ada bekalan darah. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat dan hospital untuk memastikan bekalan darah sentiasa cukup pada masa depan.
Menurut Alix, sebagai penghargaan kepada penderma, selepas menderma darah biarlah dia (penderma) berehat sehari lagi pun menderma darah hanya boleh dibuat tiga bulan sekali atau empat kali dalam setahun dan ia sama sekali tidak merugikan pihak kerajaan mahupun majikan.
“Bayangkan si penderma diberi cuti sehari selepas menderma darah ia secara tidak langsung boleh mengingatkan si penderma supaya menunaikan tanggungjawab sosial setiap tiga bulan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kempen derma darah di CKSHypermarket Millenium baru-baru ini.
Tambah Alix lagi, di pihak majikan pula, majikan akan mendapat pekerja yang sihat memandangkan setiap kali pekerjanya menyertai kempen derma darah boleh buat pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Katanya, kebanyakan orang yang aktif menderma ini adalah orang-orang yang sihat. majikan tidak akan mengalami sebarang kerugian memberikan cuti kepada pekerjanya semata-mata untuk menjalankan tanggungjawab sosial menderma darah dan menyelamatkan nyawa orang lain.
Juka cadangan ini dilaksanakan, ujarnya, kelak orang ramai boleh menyertai mana- mana kempen derma darah yang dianjurkan oleh pihak hospital, syarikat atau badan- badan bukan kerajaan (NGO).
“Sementara penderma hanya perlu mendapatkan surat pengesahan daripada doktor yang bertugas sebagai bukti dan boleh ditunjukkan kepada majikannya.
“Pendarah akan berusaha mengemukakan cadangan ini kepada kerajaan supaya dilaksanakan segera untuk kepentingan semua pihak,” jelas Alix.
Sumber: New Sabah Times (Sabah) 18 Ogos 2017

More Stories
Isu ‘Pusingan P’ di Jalan Kinarut Dibawa ke Peringkat Nasional
UPKO Tuaran Hormati Keputusan Fairuz Bandar, Ucapkan Selamat Maju Jaya
596 calon tanding PRN Sabah, bakal rebut 73 kerusi DUN