OLEH NOOR ZAFIRA SHAFIE
KOTA KINABALU: Pencegahan awal bagi memastikan penularan wabak merbahaya adalah satu usaha yang melibatkan semua pihak secara berterusan.
Pegawai Kesihatan Epidemiologi, Pejabat Kesihatan Kawasan, Dr. Sahrol Nizam Abu Bakar berkata, Influenza Avian merupakan satu penyakit yang mampu mengancam kesihatan umum kerana virus itu tersebar melalui udara.
“Pandemik Influenza ini merebak melalui udara, dan amat mudah untuk seseorang individu dijangkiti,” katanya kepada New Sabah Times.
Jelasnya, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak Pejabat Kesihatan Kawasan telah mengadakan Program Simulasi ‘Pandemik Flu’ peringkat daerah yang turut melibatkan penyertaan daripada doktor, jururawat, inspektor kesihatan, Jabatan Bomba, Angkatan Tentera, Jabatan Laut dan Pelabuhan Sabah.
Program itu telah diadakan dengan menggunakan dua situasi penyebaran virus iaitu melalui darat dan laut yang diadakan di Klinik Kesihatan Inanam dan Pelabuhan Kota Kinabalu.
“Simulasi yang kami adakan ini adalah bagi memberi gambaran dan sebagai satu langkah bersiap-siaga bagi para kakitangan yang bertanggungjawab sekiranya berlaku musibah penularan virus tersebut,” katanya lagi.
Influenza Avian dapat dikesan dengan dua simptom utama iaitu dry symptom (kering) dan wet symptom (basah).
“Jika individu mengalami tanda-tanda simptom kering, mereka tidak akan mengalami muntah atau pendarahan, manakala bagi individu yang mengalami simptom basah pula, mereka cenderung untuk mengeluarkan cecair dari badan seperti muntah.
“Selain itu, individu juga akan merasa lemah, demam, batuk dan selsema,” jelasnya lagi.
Menurut beliau lagi, sehingga kini, Sabah masih bebas dari penularan virus itu namun langkah berjaga-jaga wajar diambil perhatian oleh semua pihak kerana virus itu dikenalpasti sebagai satu wabak yang berisiko kepada negeri ini berikutan pertambahan kemasukan pelancong asing khususnya dari China.
“Julai lalu, sebuah kapal Hong Kong telah belayar ke Kota Kinabalu bagi tujuan penghantaran barang dan dalam perjalanan, didapati dua krew kapal telah mengalami simptom Influenza Avian.
“Setibanya mereka di pintu masuk pelabuhan antarabangsa, mereka memaklumkan perkara tersebut dan virus itu dapat disekat dari mula tersebar di negeri ini,” jelasnya lagi.
Sumber: New Sabah Times

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ