Penduduk Kampung Kelawat gembira Madius bantu atasi masalah air

Datuk Seri Panglima Madius Tangau bersama penduduk kampung dalam pembinaan teknologi hidraulik (Ram Pump).

TUARAN, 4 Mac – Penduduk Kampung Kelawat, Tamparuli merakamkan ribuan terima kasih kepada Datuk Seri Panglima Madius Tangau atas sumbangan ikhlas yang diberikan untuk pembinaan teknologi pam hidraulik (Ram Pump).

Pada Isnin lepas, Madius bersama penduduk kampung telah bergotong-royong membina pam hidraulik (Ram Pump), iaitu satu alternatif yang digunakan bagi mengatasi masalah air di kampung Kelawat, Tamparuli.

Bagi penduduk kampung, kewujudan teknologi tersebut adalah satu rahmat untuk mereka yang sering menderita akibat masalah air.

“Sebelum ini kami hanya bergantung kepada air hujan dan sekiranya tiada air hujan kami terpaksa membeli dari pembekal air.

“Saya juga pernah keguguran kerana terpaksa meredah jalan yang curam untuk mengambil air ketika sedang hamil,” kata seorang penduduk kampung, Daila Agus, ketika ditemui pemberita hari ini.

DSP Madius bersama- sama penduduk kampung menyambung saluran paip

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung, Thomas Sugara, meluahkan penghargaan kepada Madius sambil menjelaskan keadaan masalah air tersebut yang bertambah teruk akibat gempa bumi yang berlaku pada tahun 2015.

“Apabila berlaku gempa bumi, mata air menjadi hilang dan kami tiada bekalan sumber air bersih, masalah ini terus berlarutan sehingga kini.

“Namun dengan adanya teknologi ini maka masalah air boleh diselesaikan.

“Kami sangat bersyukur atas bantuan Madius yang memberikan peruntukan untuk membina Ram Pump,” katanya.

DSP Madius bersama- sama penduduk kampung menyambung saluran paip

Sehubungan itu, Madius mengingatkan penduduk di kampung tersebut untuk menjaga sebaiknya kemudahan yang telah diberikan.

“Ram Pump ini merupakan teknologi yang mesra alam kerana ia hanya menggunakan tekanan air untuk berfungsi, malahan boleh mengangkat air sejauh lebih 300 meter untuk tiga bahagian di kampung ini.

“Oleh itu, saya berharap agar penduduk kampung dapat memberi kerjasama untuk menjaga Ram Pump ini supaya sentiasa mendapat bekalan air,” kata Madius.

Sementara itu, pembinaan Ram Pump tersebut turut melibatkan kerjasama daripada Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu.