Oleh: Lea
PETALING JAYA: Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (Nuwhsas) mendakwa sistem kontrak membuka ruang kepada penindasan kakitangan dan mencabuli jaminan pekerjaan.
Menurut Presiden Nuwhsas, Roziah Mohammed Hashim, sejak kerajaan menyerahkan pekerjaan mereka kepada kontraktor swasta, mereka hanya memperoleh gaji minimum sebulan iaitu sebanyak RM1200 disamping terpaksa menghadapi sistem kontrak yang diperbaharui setiap satu ke dua tahun.
Hal ini menyebabkan mereka tidak mampu mendapatkan pinjaman daripada bank untuk membeli kereta mahupun rumah.
“Kami kini mahu kembali ke dalam perkhidmatan awam dan dibayar gaji oleh kerajaan, kerana kami tidak mempunyai harapan untuk memperbaiki kehidupan dalam situasi semasa,” kata Roziah dalam sebuah kenyataan.
Merujuk hal tersebut, pihak mereka telah menjalankan satu kempen dengan melakukan konvoi motosikal dari Pulau Pinang ke Putrajaya bagi memungut suara hati dan keluhan pekerja-pekerja terlibat kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 5 Febuari bersamaan Sabtu lepas.
“Sepanjang perjalanan, wakil kesatuan akan melawat semua hospital dalam perjalanan kami dan kumpul masalah-masalah serta pesanan dari pekerja-pekerja dan serahkan kepada Khairy,” jelasnya.
Kempen tersebut mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu hapuskan sistem kontrak sekaligus menyerap kembali pekerja kepada kerajaan, menuntut bayaran elaun Covid-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan dan menghentikan pemerasan kesatuan.
Dalam pada itu, seramai 35 pekerja telah menyertai kempen tersebut dan mereka dijangka tiba di Putrajaya pada Selasa ini.
More Stories
Tindakan Pantas Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran Pulihkan Jalan Bayaon Kiulu
Madius Meriahkan Hari Komuniti Sempena Hari Malaysia Taman Sri Rugading 2024
Pusat Khidmat Parlimen Tuaran, JAS serta pelbagai institusi dan agensi jayakan Sambutan Hari Pembersihan Sedunia