Polis akan mengambil tindakan ke atas pemilik akaun Facebook “Junaidah June” yang memuat naik berita palsu mendakwa seorang anggota polis di Gerik meninggal dunia akibat komplikasi vaksin Covid-19.
Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu mendatangkan kegusaran kepada orang ramai untuk mendapatkan vaksin.
“Berita kematian anggota itu tidak benar. Anggota polis berkenaan sebenarnya sedang menerima rawatan di Hospital Taiping kerana mengalami masalah jantung tersumbat,” katanya dalam kenyataan.
Semalam tular di Facebook kononnya seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 58 tahun yang bertugas di Lawin, Gerik meninggal dunia akibat komplikasi dos kedua vaksin Covid-19.
Dalam laporan Bernama pagi tadi, polis menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya seorang anggota dari Balai Polis Gerik dimasukkan ke unit kecemasan hospital di sini akibat komplikasi vaksin Covid-19.
Ketua Polis Daerah Gerik, Zulkifli Mahmood dilaporkan berkata, siasatan mendapati anggota berkenaan sebenarnya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
“Anggota berkenaan diserang strok selepas habis waktu bertugas di pondok balai polis petang semalam dan dibawa ke Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping.”
Farid berkata, penyebaran berita palsu itu ialah tindakan sangat tidak bertanggungjawab kerana keluarga anggota polis terbabit turut menerima kesan daripada berita tidak sahih itu.
Katanya, anggota itu kini dalam keadaan stabil dan sedar sepenuhnya, serta akan dirujuk ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan sebarang berita mahupun kenyataan yang disebarkan dalam media sosial.
“Jangan percaya kepada kenyataan yang ditularkan tanpa merujuk pihak bertanggungjawab untuk memastikan kesahihannya,” katanya.

More Stories
Pelajar UMS Buat Lawatan Sambil Belajar, Kenali Operasi Industri Makanan
ToT Pemindahan Teknologi Pendidikan Perkasa Praktis Kerja Sosial Pelajar UMS
Jom Jumpa PROTÉGÉ, platform dunia keusahawanan sebenar