Penubuhan MRS hasil perjuangan ikhlas bela penggiat seni tempatan

TAMPARULI: Pengkarya seni khususnya yang melibatkan muzik dan lagu tempatan Sabah dan Labuan digesa mendaftarkan diri dengan badan pelesenan muzik, Music Rights Sabah Berhad (MRS).

Menurut Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, penggiat-penggiat seni di Sabah wajar memanfaatkan platform tersebut untuk menjana pendapatan melalui hasil kutipan royalti daripada karya-karya masing-masing.

“Sebelum ini saya difahamkan penyanyi dan penggubah lagu di Sabah dibayar royalti yang tidak berpatutan sehingga hanya pada kadar serendah RM13 setahun.

“Malah lagu Sayang Kinabalu, sebuah lagu yang cukup popular ciptaan Asmin Mudin hanya menerima RM124 royalti dalam setahun.

“Kita di Sabah mempunyai begitu banyak bakat dalam bidang nyanyian, pencipta lirik dan sebagainya. Akan tetapi melihat akan perkara ini seolah-olah bakat-bakat kita dihargai,” katanya.

Madius berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Juri Nyanyian Solo anjuran Persatuan Seni Hiburan Dan Seni Lakon Cakera Muzik Sabah dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P170 Tuaran di sini, pada Ahad.

Sehubungan dengan itu, bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu memberitahu beliau telah berjuang habis-habisan bagi memastikan penggiat-penggiat seni di Sabah mendapat pembelaan sewajarnya.

“Saya yang juga selaku Pengerusi Eksekutif WISDOM Foundation telah meminta team WISDOM mengadakan webinar bagi mengupas dan membincangkan tentang isu royalti ini. Webinar pertama berlangsung pada Mei 2021.

“Saya menjemput tiga panel iaitu mantan Menteri KPDNHEP, Datuk Saifudin Nasution (yang pada ketika ini Menteri Dalam Negeri), Presiden Sabah Law Society (SLA) yang juga Peguam Harta Intelek Roger Chin, dan Saudara Asmin Mudin yang merupakan Pengerusi, Persatuan Komposer dan Pembikin Video Muzik Sabah [SCORE]. Video webinar ini disiarkan secara langsung dalam boleh diikuti di Facebook saya.”

Selesai webinar katanya, beliau terus membuat kenyataan media bertajuk 𝙆𝙚𝙧𝙖𝙟𝙖𝙖𝙣 𝙋𝙚𝙧𝙨𝙚𝙠𝙪𝙩𝙪𝙖𝙣 𝙝𝙖𝙧𝙪𝙨 𝙗𝙚𝙧𝙞 𝙠𝙚𝙖𝙙𝙞𝙡𝙖𝙣 𝙠𝙚𝙥𝙖𝙙𝙖 𝙝𝙖𝙧𝙩𝙖 𝙞𝙣𝙩𝙚𝙡𝙚𝙠 𝙥𝙚𝙢𝙪𝙯𝙞𝙠 𝙈𝙖𝙡𝙖𝙮𝙨𝙞𝙖 𝙏𝙞𝙢𝙪𝙧 untuk menuntut pembelaan kepada orang-orang seni di Sabah.

Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu memaklumkan, beliau tidak berhenti setakat di sana, tetapi meneruskan perjuangan dengan mengadakan Siri webinar yang kedua.

“Kali ini saya menjemput Menteri KPDNHEP pada ketika itu, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi dan juga Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang masa itu disandang oleh Datuk Mohamad Alamin.

“Pada masa yang sama, kita juga menjemput Pengerusi Persatuan Armada Anak Seni Sarawak (ARAS), Gibson Rentap dan Pengurus Pengarah, Music Rights Sarawak Berhad (MRSB), Tan Soh Phing Juliet. Webinar kali kedua ini juga turut dihadiri oleh Peguam Roger Chin dan Asmin sendiri.

“Hasilnya, Alexander secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan kita dan meluluskan badan kutipan royalti lagu-lagu di Sabah dan Sarawak. Siri webinar kedua yang cukup menarik ini diadakan pada 15 Jun 2021. Kalau mau tengok ulang tayang masih ada di facebook saya.

“Malangnya selepas pengumuman kelulusan itu dibuat, badan-badan pemungut royalti lagu di Semenanjung pula berapi-api membuat bantahan.

“Tetapi pada masa itu, kita berdiri teguh dan tidak tunduk terhadap bantahan yang dibuat. Saya telah membuat kenyataan media supaya kerajaan meneruskan Collective Management Organisation (CMO) di Sabah dan Sarawak demi pembelaan terhadap artis-artis tempatan kita.

“Tidak cukup dengan itu, saya juga bangkitkan dan membahaskan perkara ini di Persidangan Dewan Rakyat. Akhirnya pada 17 Januari 2022, saya sendiri dijemput untuk menyaksikan penyerahan lesen kepada Music Right Sabah Berhad (MRS) yang diamanahkan untuk menguruskan hal-hal berkaitan pungutan royalti di Sabah,” jelas Madius.

Untuk rekod, sehingga Januari 2024, seramai 472 penggiat seni termasuk lima buah syarikat rakaman di Sabah dan Labuan telah menjadi ahli MRS.

Sejumlah RM58,381 pungutan royalti turut berjaya dikutip MRS pada tempoh September 2022 hingga 31 Mei 2023.

Dalam pada itu, hampir 50 peserta menyertai Kursus Juri Nyanyian Solo yang berlangsung selama hari bertempat di Banguna Kelab Sukan Tamparuli.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Seni Hiburan dan Seni Lakon Cakera Muzik Sabah, Carlin Suzieanah Lesimon dan Ketua Penerangan Persatuan Persahabatan Artis Momogun Sabah merangkap Pengerusi Penganjur, Sabil Runsogit.