PGA RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI RM28,000

BELURAN: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 1,570 bungkus rokok seludup bernilai lebih RM28,000 dan menahan seorang lelaki warga Pakistan di Jalan Paitan, dekat sini, semalam.

Lelaki berumur 37 tahun yang dipercayai menjadi pembekal rokok di ladang sekitar kawasan Mamahat ditahan sepasukan anggota PGA Batalion 20 Beluran kira-kira jam 1 tengah hari.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 20 Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata lelaki itu yang memandu kereta pacuan empat roda ditahan susulan maklumat orang awam.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui pelbagai jenis rokok dipercayai diseludup untuk dibekalkan ke sekitar ladang.

“Turut dirampas adalah kereta pacuan empat roda dipandu suspek. Anggaran keseluruhan rampasan kira-kira RM108,000,” katanya di sini.

Mohd Nasaruddin berkata, lelaki itu dan semua barang kes dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.