PH Sabah jumpa Ketua Menteri, kemuka Agenda Reformasi Sabah

Pakatan Harapan (PH) Sabah mengemukakan Agenda Reformasi Sabah kepada Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dalam satu pertemuan di Menara Kinabalu hari ini.

Dalam kenyataan bersama Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah Datuk Christina Liew; Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung; dan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Sabah Lahirul Latigu menegaskan, Agenda Reformasi Sabah bukannya Memorandum Persefahaman (MoU) seperti yang dilaksanakan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Tetapi ia adalah syor konsensus agar semua parti di Sabah bekerjasama memastikan hak rakyat Sabah diperjuangkan dengan sebaik-baiknya terutama menuntut pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Agenda Reformasi Sabah yang dikemukakan itu berkaitan beberapa perkara iaitu autonomi Sabah dan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tadbir urus menangani pandemik COVID-19, pelan pemulihan ekonomi Sabah, reformasi pentadbiran dan politik, reformasi Dewan Undangan Negeri (DUN), tadbir urus orang asal Sabah, dan tadbir urus keselamatan.

Di dalam Agenda ini, PH Sabah mengemukakan syor-syor berkaitan belanjawan pemulihan ekonomi untuk diambil kira dalam Belanjawan Sabah 2022 yang akan dibentangkan pada 3 Disember 2021.

Agenda ini juga termasuk reformasi-reformasi yang perlu dilaksanakan di DUN Sabah bagi membolehkan tadbir urus demokrasi yang lebih progresif serta semak dan imbang yang lebih berkesan.

PH Sabah berpendapat, Agenda Reformasi Sabah adalah sesuatu yang sudah lama tertangguh dan seharusnya menjadi agenda bersama kesemua parti politik serta penggubal undang-undang sama ada di blok kerajaan mahu pun pembangkang.

Pihak PH Sabah turut mengalu-alukan komitmen dan jaminan Hajiji untuk berbincang dengan parti-parti gabungan dalam kerajaan bagi mendapatkan konsensus untuk sama-sama memperjuangkan dan menjayakan Agenda Reformasi Sabah.

Dalam pada itu, PH Sabah juga mengalu-alukan kehadiran Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan dalam pertemuan itu dan menghargai komitmen yang sama diberikan oleh beliau bagi menjayakan Agenda Reformasi Sabah.

Pada pertemuan itu, Madius diwakili oleh Naib Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *