Rejanah (5 dari kiri) secara simbolik menyerahkan tajaan PMZKK kepada Jonos di majlis itu sambil diperhatikan oleh ahli jawatankuasa PMZKK yang lain.
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Real Beauty Sdn. Bhd. akan menjadi penaja sepenuhnya keseluruhan kos sambutan Pesta Magahau 2019 bagi Zon Kota Kinabalu (PMZKK), melibatkan kawasan Kota Kinabalu, Inanam dan Putatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Real Beauty Puan Rejanah Bahanda berkata, syarikatnya juga akan membantu dan menaja hadiah berupa produk kecantikan untuk Pesta Magahau Peringkat Negeri Sabah 2019.
Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman persiapan penganjuran pelancaran Pesta Magahau 2019, bertempat di pejabat Real Beauty, di Pusat Iramanis, dekat sini pada Jumaat.
Majlis pelancaran Pesta Magahau 2019 akan diadakan pada 30 Jun 2019, di Dewan Mini Kampung Dato Tebobon, Menggatal, bermula jam 8.00 pagi dan akan dilancarkan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Inanam, Abdul Latif Mopuas.
Rejanah, yang juga pengasas Real Beauty berkata, ini merupakan kali pertama syarikatnya menaja sepenuhnya kos sambutan PMZKK.
“Kita terpanggil untuk menaja sepenuhnya pesta ini atas kesedaran sambutan sesuatu perayaan suku kaum memerlukan perbelanjaan yang besar.
“Sebagai seorang usahawan suku kaum Rungus, sekiranya bukan kita yang tampil menyokong dan membantu, siapa lagi yang akan membantu”, katanya.
Rejanah berkata untuik menaja majlis pelancaran sahaja memerlukan kos kira-kira RM20,000.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur Pesta Magahau 2019, Jonos Lingon berkata, persiapan untuk majlis pelancaran perayaan itu berjalan lancar.
Beliau berkata, Zon Kota Kinabalu menjadi tuan rumah pelancaran Pesta Magahau 2019 yang akan diadakan di tujuh Zon seluruh Sabah sehingga bulan Ogos 2019.
“Antara pengisian sambutan itu ialah sukan rakyat, Mitarab Gimpuhut Momogun (MGM), Mitarab Monurizak (pertandingan nyanyian) dan sebagainya”, katanya
Jonos berkata, tujuan pesta itu diadakan bagi mengekal dan menonjolkan budaya dan tradisi suku kaum Rungus, agar dapat dijiwai dan diwarisi oleh masyarakat Rungus itu sendirinya dan juga rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Seramai 13 peserta akan bersaing merebut gelaran ratu dalam MGM. Johan MGM akan menerima hadiah wang tunai RM1000, trofi dan hadiah lain.
Sementara Naib Johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM700 dan RM500, trofi dan hadiah iringan lain.
Jonos (3 dari kanan) bersama Rejanah (3 dari kiri) pada sidang media sambutan PMZKK.
Pemenang johan, naib johan dan tempat ketiga MGM akan mewakili zon Kota Kinabalu ke pertandingan peringkat negeri.
Sementara itu, seramai 10 peserta akan bertanding di peringkat akhir Monurizak (nyanyian). Johan akan menerima hadiah wang tunai RM700, piala dan hamper. Sementara naib johan dan tempat ketiga masing-masing akan menerima hadiah RM500 dan RM300 berserta piala dan hamper.
Ketiga-tiga pemenang Monurizak juga akan mewakili zon Kota Kinabalu ke pertandingan peringkat negeri.

More Stories
20 Gurulatih Bingkasan sertai Hiking di Bukit Kopungit
65 Karya Dipamerkan di Pameran Kaligrafi GAH-UMS
Galeri Azman Hashim UMS Bantu Martabat Karya Seni Tempatan