Rumah dijadikan stor simpanan dan jual minyak masak subsidi

SEMPORNA: Taktik seorang lelaki yang menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan dan penjualan minyak masak bersubsidi terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 22 PGA Kunak di Kampung Seri Melor, di sini, kelmarin.

Serbuan menerusi Ops Bersepadu Intra/Inter Agensi – Op Taring Bravo 2 dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna berjaya menemukan 5,270 peket minyak masak satu kilogram.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan itu dijalankan atas maklumat risikan mengenai kegiatan penyimpanan dan penjualan minyak masak bersubsidi secara haram.

“Hasil serbuan itu, pasukan operasi menemui sebanyak 310 kotak minyak masak bersubsidi dengan jumlah keseluruhan 5,270 peket.

“Turut dirampas dalam operasi itu adalah sebuah telefon bimbit, satu mangga dan kunci dipercayai berkaitan dengan kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkenaan pemilikan dan penyimpanan barang kawalan berkenaan.

“Siasatan awal mendapati minyak masak itu dipercayai dibekalkan oleh individu dari luar daerah dan suspek dipercayai menjalankan aktiviti pembelian dan penjualan ini sejak awal tahun ini.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan mencecah RM15,675 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, katanya kejayaan operas ini mencerminkan komitmen berterusan pihak berkuasa dalam membanteras penyelewengan barang kawalan dan aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hak rakyat serta kestabilan ekonomi tempatan. – Info X