KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini memutuskan untuk menghentikan sementara sistem perdagangan barter di negeri ini sebagai usaha menangani penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata keputusan berkenaan dibuat menerusi mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri, hari ini, yang memutuskan sistem berkenaan perlu dihentikan seketika sehingga wabak tersebut dapat dibendung.
“Oleh itu kita ambil keputusan ini untuk mengelakkan ada penularan baharu wabak ini. Keadaan ini agak membimbangkan kerana ada pekerja-pekerja yang datang dari luar yang belum diketahui tahap kesihatannya.
“Kita tahu sistem perniagaan tukar barang ini melibatkan kapal-kapal dari luar seperti Indonesia yang datang untuk bertukar barang di Sabah dan ada juga kapal daripada Hong Kong yang memuatkan ikan hidup daripada Sabah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di sini, hari ini.
Mohd Shafie berkata selain itu kerajaan telah mengarahkan beberapa ladang kelapa sawit di Kinabatangan dan Felda Sahabat, Lahad Datu untuk menghentikan sementara operasi termasuk mengutip buah bermula hari ini.
“Arahan itu dikeluarkan disebabkan terdapat banyak kontak kes positif Covid-19 daripada kluster tabligh berada di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata selain itu arahan juga dikeluarkan agar semua jemaah yang mengikuti Ijtimak Tabligh Dunia Zon Asia di Gowa, Sulawesi Selatan dikuarantin di sebuah pusat kuarintin di Tawau sebelum dibenarkan balik ke kampung masing-masing.
“Mereka akan dikuarantin untuk satu tempoh yang lebih lama untuk memastikan mereka benar-benar bebas daripada wabak Covid-19. Kita tidak mahu mereka balik ke kampung masing-masing sekiranya mereka belum disahkan benar-benar sihat.
“Setakat ini saya difahamkan terdapat lima orang jemaah berkenaan sedang dikuarintin dan aka nada sembilan orang lagi bakal tiba dipusat kuarintin berkenaan. Namun kita belum mengetahui berapa sebenarnya jumlah mereka yang hadir ke perhimpunan itu,” katanya.
Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah juga telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM200,000 kepada Pejabat Perhubungan Negeri Sabah di Kuala Lumpur untuk memberi bantuan kepada pelajar asal negeri ini yang belajar di luar Sabah.
“Kerajaan Sabah sentiasa bekerjasama dengan pengurusan Institusi Pengajian Tinggi di Sabah memantau dan memberi khidmat bantuan dan mengenai masalah yang dihadapi pelajar,” tambahnya./BERITA SABAH

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad