KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi esok bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19 di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, beliau akan mengumumkan pakej rangsangan itu selepas mesyuarat kabinet negeri yang dijadualkan esok di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah.
“Kita tahu ramai orang yang tertunggu-tunggu bila Kerajaan Sabah mengumumkan pakej rangsangan itu dan esok kita akan umumkan apa pakej yang kita ada,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Negeri, di sini, hari ini.
Pada masa yang sama, beliau berkata bantuan kepada rakyat telah dilaksanakan oleh wakil-wakil rakyat di kawasan masing-masing.
“Saya telah mengarahkan semua wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing dan saya melihat kesemua wakil rakyat telah menjalankan tanggungjawab masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri telah membekalkan topeng muka dan pencuci tangan (hand sanitiser) kepada mereka yang bekerja sebagai barisan hadapan (frontliner) di negeri ini.
“Pagi tadi saya telah mengagih-agihkan topeng muka dan pencuci tangan berkenaan kepada agensi-agensi yang terlibat, termasuk daripada polis dan tentera yang bekerja di lapangan.
“Esok kita akan menerima lagi sumbangan topeng muka dan pencuci tangan dan ia akan diagih-agihkan kepada pihak yang benar-benar memerlukan,” katanya./BERITA SABAH

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ