Saidatul Badru graduan tertua UMS tahun ini

KOTA KINABALU: Warga emas yang juga bekas peguam syariah, Datin Saidatul Badru Mohd Said Keruak, 74, menjadi graduan tertua bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) Ke-26, di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak dan nenek kepada tiga cucu itu menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang sejarah yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua Negeri Sabah yang juga Canselor UMS, Tun Juhar Mahiruddin.

Mengulas pencapaiannya, Saidatul berkata, usia bukanlah penghalang kepada sesuatu kejayaan jika ada usaha yang diiringi dengan semangat dan keinginan yang tinggi.

Katanya, beliau mahu kejayaannya itu menjadi penyuntik semangat kepada warga belia yang ingin melanjutkan pelajaran dalam pengajian yang lebih tinggi.

“Jangan terlalu fokus kepada umur, apa yang penting adalah kemahuan dan semangat kerana proses dan perjalanan menuntut ilmu ini bukan mudah,” katanya.

Katanya, beliau juga pernah ditawarkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), namun memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sejarah di UMS kerana ingin kembali semula ke tempat asal.

Beliau yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana di Universiti Malaya (UM), berkata ketika mengambil Sarjana Muda, beliau sudahpun berusia 40 tahun dan mempunyai cucu, sebelum menyambung pengajian ke peringkat Sarjana pada usia 55 tahun.

“Saya mengambil peluang melanjutkan pelajaran sewaktu anak-anak saya sudah tamat pengajian dan mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing,” katanya.

Mengimbau alam pekerjaannya sebelum ini, Saidatul yang juga anak bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Mohd Said Keruak, berkata beliau mula bekerja sebagai setiausaha pada 1970 di Pejabat Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Saidatul adalah antara 359 graduan yang menerima ijazah doktor falsafah, doktor perubatan dan sarjana penyelidikan sempena Majlis Konvokesyen Ke-26 UMS di Dewan Canselor UMS Kota Kinabalu, di sini, semalam. – Info X