Suara Madius mendapat perhatian, infrastruktur serta masalah air Klinik Kesihatan Simpangan diambil tindakan

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau

KOTA KINABALU, 21 Mac — Suara Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) berhubung masalah Klinik Kesihatan Simpangan Tuaran di Parlimen baru-baru ini mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia.

Dalam persidangan yang berlangsung itu, beliau mempersoalkan langkah yang diambil KKM berhubung masalah infrastruktur serta bekalan air yang sering dihadapi klinik tersebut.

Menurut KKM, mereka mengambil maklum akan keadaan di Klinik Pekan Nabalu, yang juga dikenali sebagai Klinik Kesihatan Simpangan yang tidak mempunyai infrastruktur serta keperluan asas yang lengkap seperti kemudahan makmal dan bekalan air.

“Klinik tersebut merupakan klinik kesihatan yang terdekat di kawasan sekitar Gunung Kinabalu dan menawarkan perkhidmatan kepada penduduk sekitar dan pelancong,” katanya.

KKM telah mengenal pasti klinik tersebut sebagai klinik yang bakal menerima peralatan perubatan makmal baharu melalui program pembekalan peralatan perubatan (Medical Equipment Enhancement Tenure, MEET).

“Ini bagi menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan di sana agar lebih komprehensif. Oleh itu, mendirikan sebuah kabin menempatkan peralatan perubatan makmal yang berkaitan adalah antara projek keutamaan.

“Permohonan ini telah diangkat untuk kelulusan di peringkat Kementerian bagi dilaksanakan dalam tahun ini,” jelasnya.

Sementara itu, bagi isu bekalan air bersih, klinik tersebut akan mendapat sumber bekalan air daripada Jabatan Bekalan Air, Sistem Tadahan Air Hujan (STAH) dan telaga.

“Sistem STAH masih berfungsi manakala bekalan air telaga telah mengalami kerosakan dan gangguan semasa kejadian gempa bumi dan perlu dibaiki. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang dalam tindakan untuk mendapatkan sebutharga bagi kerja-kerja pembaikan tersebut.

“Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 tahun 2022, sabah telah mendapat kelulusan peruntukan sebanyak RM2.49 juta untuk 35 buah Klinik Kesihatan yang melibatkan kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur asas bekalan air alternatif di klinik kesihatan luar bandar di bawah KKM bagi fasiliti yang masih menggunakan bekalan air alternatif sepenuhnya dan memerlukan rawatan air bagi mendapatkan bekalan air bersih, mencukupi dan berterusan,” tambahnya.

Sehubungan itu, Madius berkata akan menyusuli surat kepada Kementerian agar dapat memastikan komitmen KKM dilaksanakan.