Suntikan Fiskal Perkasa Latihan Industri

Oleh Dr. Jakaria Dasan

Sesi dialog terbuka atau town hall yang mempertemukan pihak industri dan akademia di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kini bukan lagi sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya menjadi mekanisme libat urus strategik yang kritikal. Tujuannya jelas yakni, memastikan hala tuju program akademik selari dengan kehendak industri, dasar universiti, dan piawaian badan akreditasi.

Dalam era digital yang digerakkan oleh kecerdasan buatan (AI), keperluan ini semakin mendesak. Universiti berdepan cabaran untuk menyeimbangkan penguasaan teknologi dengan kebijaksanaan insan bagi mengelakkan lahirnya graduan yang sekadar menjadi ‘operator sistem’ tanpa daya fikir kritis dan pertimbangan etika.

Justeru, semakan kurikulum terutamanya bagi fakulti seperti yang diadakan oleh Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan UMS baru-baru ini perlu menekankan keseimbangan antara kemahiran teknikal dan kematangan profesional. Industri hari ini tidak hanya mencari graduan yang mahir dalam satu perkara, tetapi individu yang mampu berfikir secara sistemik dan beradaptasi merentas fungsi.

Realiti Latihan Industri (LI)
Dalam hubungan ini, fokus utama yang menjadi intipati Dialog tersebut ialah Latihan Industri (LI). Walaupun Generasi Z sering dikaitkan dengan kemahiran digital yang tinggi, pengalaman sebenar di tempat kerja tetap tidak boleh diganti oleh pembelajaran dalam talian. LI adalah medan untuk pelajar memahami budaya kerja, etika profesional, dan menguji keserasian karakter mereka dengan kerjaya pilihan.

Namun, realitinya ramai pelajar menghadapi kesukaran mendapatkan tempat LI yang sesuai akibat keterbatasan peluang. Cabaran kos sara hidup yang meningkat, terutamanya bagi penempatan yang jauh, serta ketiadaan elaun daripada organisasi terlibat memberikan tekanan kewangan yang hebat kepada pelajar.

Situasi ini memaksa pelajar memilih tempat LI secara tangkap muat, bukan lagi berdasarkan peluang pembelajaran terbaik, tetapi semata-mata “asalkan ada tempat”. Jika trend ini berterusan, objektif LI untuk menguji kemahiran pelajar mengikut kursus pengajian akan menjadi kurang bermakna.

Intervensi Kerajaan dan Insentif Fiskal
Sudah tiba masanya pelaksanaan Latihan Industri (LI) diangkat sebagai agenda strategik negara yang menuntut intervensi kerajaan, dan bukan sekadar diletakkan di bahu universiti semata-mata. Hal ini kerana graduan merupakan aset tenaga kerja masa depan di mana LI mampu bertindak sebagai jambatan kritikal untuk graduan memasuki alam pekerjaan dengan lebih lancar dan secara langsung memacu produktiviti ekonomi negara.

Satu pendekatan proaktif yang wajar diteroka adalah pengenalan insentif fiskal. Kerajaan disarankan mempertingkatkan lagi fleksibiliti potongan atau pengecualian cukai kepada majikan yang menyediakan peluang LI. Apatah lagi kepada syarikat persendirian yang dimiliki oleh usahawan yang walau pun masih baharu tetapi komited untuk berkembang maju dalam perniagaan mereka.

Kesediaan pelajar LI menyertai mereka sedikit sebanyak membantu kelancaran perniagaan di samping memberi pengalaman bernilai kepada pelajar terlibat. Insentif khas yang memanfaatkan pembangunan syarikat diperkenalkan kepada majikan seperti para usahawan ini agar mereka juga komited menyediakan elaun kepada pelajar LI. Inisiatif-inisiatif ini jika digerakkan dengan sistematik dan dipermudahkan pelaksanaannya akan menyebabkan lebih banyak peluang LI dapat diperolehi oleh bakal graduan.

Ringkasnya, apabila majikan menerima rangsangan yang sewajarnya, peluang penempatan akan bertambah dan kualiti bimbingan dapat ditingkatkan. Ini akan meringankan beban pelajar dan memastikan mereka mempelajari sesuatu yang bernilai.

Dari Kebolehpasaran ke Kebolehsuaian
Di peringkat universiti pula, naratif perlu beralih daripada sekadar mengejar angka kebolehpasaran graduan (graduate employability) kepada memperkukuh kebolehsuaian graduan (graduate adaptability). Kurikulum harus membina kompetensi berdikari, pemikiran kritis dan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik. Namun, usaha ini akan lebih “menjadi” apabila ekosistem Latihan Industri (LI) di pihak majikan turut diperkasa melalui suntikan fiskal yang lebih fleksibel dan mudah diakses.

Apabila insentif kerajaan direka dengan ruang kelonggaran yang praktikal misalnya mengiktiraf kos bimbingan, masa penyeliaan, latihan dalaman, dan elaun minimum pelajar, majikan akan lebih terdorong untuk menyediakan pengalaman LI yang lebih berpandu, tersusun dan bermakna, bukan sekadar menempatkan pelajar untuk memenuhi syarat. Dalam keadaan ini, LI berubah fungsi, daripada pendedahan ringkas kepada latihan transisi yang benar-benar mempercepat peralihan minda pelajar kepada minda pekerja.

Kesimpulannya, dialog industri–akademia memberi gambaran jelas bahawa kesiapsiagaan graduan bukan hanya soal kandungan kurikulum, tetapi juga kualiti pengalaman LI di lapangan. Justeru, intervensi kerajaan melalui dasar insentif yang tuntas, khususnya yang meningkatkan fleksibiliti suntikan fiskal kepada majikan, boleh menjadi game changer untuk memastikan ekosistem LI di institusi pendidikan tinggi kekal relevan, inklusif dan berdaya saing, sambil melahirkan graduan yang cepat menyesuaikan diri dan segera menyumbang kepada produktiviti organisasi serta ekonomi negara.

*Penulis adalah Profesor Madya dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah.