Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor bersama Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg ketika hadir di Majlis Pelancaran Saluran TV Baharu RTM menerusi TV OKEY di Kota Kinabalu. Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak (kiri). – Foto Malai Rosmah Tuah
KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak berkata, saluran televisyen baharu, TV OKEY, berupaya mencapai dua objektif utama dasar penyiaran negara iaitu penyampaian berita atau mesej secara berkesan dan pembangunan industri kreatif di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri berkata, melalui saluran televisyen yang dikhususkan kepada Sabah, Sarawak dan Labuan itu adalah mesej dua hala antara kerajaan dan rakyat , yang dapat disalurkan secara langsung.
“Saluran tv ini memberi tumpuan kepada masyarakat akar umbi di Sabah dan Sarawak supaya mereka boleh melahirkan ekspresi mereka, apa dalam isi hati mereka yang nak disampaikan kepada masyarakat umum dan kepada kerajaan.
“Di samping itu, kita sebagai kerajaan nak sampaikan mesej kepada rakyat secara berkesan, melalui bahasa kebangsaan dan bahasa tempatan.
“Bahasa tempatan cukup berkesan apatah lagi dengan kepelbagaian kumpulan etnik. Di Sabah sahaja ada 52 kumpulan etnik. Itu yang rasmi. Yang tak rasmi mungkin lebih ramai. Di Sarawak, 27 kumpuan etnik.
“Hari ini, keturunan Kadazan dan Iban hanya boleh mendengar siaran berita dua kali sehari (di RTM) sahaja. Kumpulan lain agak tiada peluang kecuali melalui corong radio sahaja.
“Tetapi apabila ada saluran TV OKEY yang baharu ini, kumpulan masyarakat seperti Dusun dan Bajau, boleh menonton,” katanya ketika berucap merasmikan TV OKEY, di sini, malam ini.
Najib berkata, TV OKEY juga menjadi pencetus kepada pembangunan industri kreatif di Sabah dan Sarawak secara lebih meluas dalam kalangan rakyat di kedua-dua negeri berkenaan, sekali gus mampu menjana pendapatan kepada negara, amnya dan Sabah serta Sarawak khususnya. – BERNAMA

More Stories
Madius sifatkan permohonan penangguhan oleh Kerajaan Persekutuan sebagai “ketidakhikhlasan” yang nyata
Teruskan rayuan 40% hanya panjangkan ketidaktentuan, hakis kepercayaan rakyat Sabah – Madius
Madius dilantik pimpin POIC Sabah, Roger Chin pengerusi baharu Invest Sabah Berhad