UMS Komited Terus Tingkat Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus komited terhadap usaha berterusan dalam meningkatkan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (SPKKP) khususnya di dalam kampus.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha tersebut digerakkan melalui pembangunan manual dan prosedur kerja selamat SPKKP bagi Standard ISO45001:2018 oleh Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP).

“Pembangunan manual dan prosedur kerja tersebut telah bermula sejak Jun lalu melalui Bengkel Migrasi bagi menyokong KPI Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyumbang kepada pencapaian Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHMP) 2021-2025.

“Ini bertepatan dengan usaha universiti untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan kakitangan dan mana-mana orang lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan mana-mana operasi di dalam kawasan kawalannya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Mesyuarat Pembukaan Audit Pensijilan Semula dan Migrasi SPKKP yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Cisco Webex baru-baru ini.

Menurut Taufiq, Pensijilan SPKKP telah diperoleh UMS sejak 2015 bagi Standard OHSAS18001:2008 & MS1722:2011 daripada badan pensjilian Niosh Certification Sdn. Bhd. bermula dengan enam Jabatan, Akademi, Fakulti, Pusat, Institut dan Bahagian (JAFPIB) universiti.

“Selepas lima tahun, skop SPKKP telah diperluaskan kepada 14 JAFPIB, dan pada tahun ini UMS telah menambah skop SPKKP melalui penglibatan 28 JAFPIB termasuk semua Kolej Kediaman pelajar dalam dan luar kampus.

“Langkah ini juga selaras dengan langkah universiti dalam mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Akta 514) serta lain-lain perundangan, peraturan dan garis panduan yang berkuat kuasa,” kata Taufiq.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Raman Noordin turut menyatakan komitmen untuk memastikan kesejahteraan dan keharmonian pelajar selaku kumpulan yang tergolong sebagai individu yang mungkin terkesan dengan risiko keselamatan dan kesihatan pekerjaan di UMS terutamanya di kolej kediaman.

“Justeru, skop pensijilan telah diperluaskan kepada Pusat Pengurusan Non-Residen dan Fasiliti Perumahan Pelajar dan semua kolej kediaman dalam dan luar kampus termasuk kampus Sandakan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Program tahunan bagi memberikan penarafan bintang kepada semua kolej kediaman ini akan menggalakkan penglibatan warga kolej kediaman dalam aktiviti keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi menyokong kolej kediaman untuk memperoleh Pensijilan SPKKP (ISO 45001:2018) bermula tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah PKKP, Prof. Dr. Khamisah Awang Lukman memaklumkan, hasil auditan oleh Niosh Certification Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Ahmad Syafiq Mohamad selaku Ketua Juruaudit telah membuat kesimpulan bahawa berdasarkan penemuan dan semakan semasa audit Pensijilan Semula dan Migrasi, UMS telah melaksanakan secara efektif dan mengekalkan SPKKP berdasarkan keperluan standard ISO45001:2018.

Katanya, ini merangkumi 28 JAFPIB yang termasuk dalam skop pensijilan bagi tahun 2021 yang turut disertai jabatan yang diterajui oleh Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar seperti Bahagian Pentadbiran dan Governan, Bahagian Sumber Manusia dan Bahagian Keselamatan UMS.

“JAFPIB lain yang juga menyertai skop adalah Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Islam UMS, Pusat Pengurusan EcoCampus, Pusat Minda Lestari, Pusat Persediaan Sains dan Teknologi, Pusat Pengurusan Data dan Maklumat, Pusat Pelaburan, Endowmen dan Wakaf, Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik.

“Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Sains dan Sumber Alam, Jabatan Perpustakaan, Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Institut Penyelidikan Bioteknologi, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Pejabat Canselori, Bahagian Audit Dalam, dan Galeri Azman Hashim UMS,” katanya.

Khamisah turut memberitahu, antara penemuan positif audit adalah UMS telah melaksanakan dengan cemerlang sistem pelaporan digital insiden dan kemalangan termasuk keadaan tidak selamat di tempat kerja melalui penggunaan kod QR NADOPOD.

“Selain itu, promosi penggunaan sistem ini telah dikomunikasikan kepada kakitangan UMS melalui sesi taklimat video, manual dan hebahan poster.

“Video penggunaan kod QR NADOPOD boleh diakses melalui saluran YouTube rasmi Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan UMS,” kata Khamisah.

Ujar beliau, dalam usaha memupuk budaya kerja selamat dan sihat di samping mengurangkan sumber, bahan dan gangguan operasi UMS akibat daripada kemalangan, PKKP akan menambah skop pensijilan SPKKP ISO45001:2018 kepada JAFPIB lain secara bersasar setiap tahun.