1,349 kes baharu Covid-19 dan 2 mati ini hari

Kementerian Kesihatan melaporkan 1,349 kes baharu Covid-19 dan dua kematian berbanding 1,270 pesakit pulih.

Ini menjadikan 335,162 kes sembuh daripada 350,959 kes Covid-19 dan 1,288 kematian yang direkodkan setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 14,509 kes aktif dengan 94 daripada 186 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada jumlah kes baharu itu, tujuh ialah kes import dan 1,342 kes penularan tempatan yang membabitkan 988 warganegara serta 354 warga asing.

Noor Hisham berkata, Sarawak kembali melaporkan jumlah jangkitan tertinggi, iaitu 419 kes.

“Daripada jumlah ini, 382 kes (91.2%) daripada kluster dan saringan kontak rapat,” katanya dalam kenyataan.

Ia diikuti Selangor (343), Pulau Pinang (185), Johor (95), Kuala Lumpur (73), Sabah (68), Kedah (32), Perak (24), Labuan (22), Negeri Sembilan (20), Kelantan (18), Putrajaya (17), Melaka (15), Pahang (11), Terengganu (enam) dan Perlis (satu).

Dua kematian di Sabah dan Sarawak itu membabitkan warganegara berusia 78 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit sepeti darah tinggi dan kencing manis.