Kolej kediaman UMS antara tiga tempat yang kena kasi PKPD di Sabah mulai bisuk

Tiga lokaliti di Sabah termasuk tiga kolej kediaman Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga kolej kediaman itu adalah Kolej Kediaman Tun Mustapha, Tun Fuad dan Tun Pengiran Ahmad Raffae.

Menurut beliau, dua lagi lokasi yang dikenakan PKPD adalah Kampung Pagalungan Ansip, Keningau dan Kampung Kalindukan, Nabawan.

“Pelaksanaan PKPD di kesemua tiga lokaliti itu dijadualkan berakhir pada 18 April ini,” katanya dalam kenyataan media di sini pada Ahad.Berikut adalah perincian lanjut mengenai PKPD di ketiga-tiga lokaliti itu.

Kolej Kediaman di UMS, Kota Kinabalu, Sabah

  • Tiga kolej kediaman yang terlibat adalah Kolej Kediaman Tun Mustapha, Tun Fuad dan Tun Pengiran Ahmad Raffae.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 133 ujian saringan dan daripada jumlah itu 19 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

KKM mengesahkan telah berlaku penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni di ketiga-tiga kolej kediaman tersebut dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Pelaksanaan PKPD itu adalah untuk memastikan pergerakan penghuni dapat dikawal bagi mengelakkan penularan COVID-19 ke komuniti luar kolej kediaman.

Kampung Pagalungan Ansip, Keningau, Sabah

  • Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 146 ujian saringan dan daripada jumlah itu 15 kes positif COVID-19 direkodkan.

Pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti.

PKPD di Kampung Kalindukan, Nabawan, Sabah

  • Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 99 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak lapan kes positif COVID-19 direkodkan.

Pelaksanaan PKPD ini memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan dalam komuniti. – Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *