KOTA KINABALU: Sebanyak 15 rumah yang didirikan secara haram di kawasan setinggan yang terletak bersebelahan Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, musnah terbakar, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu bagaimanapun setakat ini tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.53 tengah hari.
Katanya, sepasukan 15 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas ke lokasi kejadian bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus digerakkan ke tempat kejadian bagi mengawal api daripada terus merebak.
“Kebakaran membabitkan anggaran 15 rumah setinggan jenis tidak kekal yang musnah terbakar 100 peratus.
“Pasukan bomba yang berada di lokasi kejadian sedang berusaha untuk mengawal kebakaran dan sebarang maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, operasi turut dibantu agensi lain antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Sabah Electricity Sdn Bhd.
Sementara itu, kejadian kebakaran dipercayai berlaku akibat lintar pintas ketika operasi merobohkan rumah setinggan yang dijalankan pihak berkuasa.
Difahamkan, terdapat banyak pendawaian haram di lokasi kejadian selain struktur rumah kayu mempercepatkan lagi api merebak. – Info X
More Stories
Tiada faedah alternatif ditawar kepada 165 pesara LPPS yang tuntut hak wang caruman RBS: Kementerian Kewangan
Dua cedera kemalangan dua lori muatan kelapa sawit di Beluran
Lima rumah teres terbakar di Lahad Datu