Pencuri “Karan” Salahkan Kerajaan Setinggan Haram Kampung Kalansanan Terbakar

KOTA KINABALU, SABAH – Sederet 15 rumah setinggan atas air di Kampung Kalansanan, Inanam, musnah dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas dari kegiatan penyambungan elektrik secara haram tadi.

Melalui sebuah klip video tular insiden kira-kira jam satu petang itu, seorang lelaki kedengaran memaki hamun kerajaan.

Beliau mendakwa sebagai seorang penduduk bahawa mereka tidak diberikan notis sebelum rumah mereka dirobohkan lalu dibakar.

Walau bagaimanapun, sepasukan 26 anggota bomba terdiri daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu berkata menghadapi kesukaran mengakses lokasi kejadian disebabkan penyambungan elektrik haram yang terlalu banyak.

Ketua BBP Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, jentera bomba juga tidak dapat masuk ke lokasi kejadian disebabkan titian penempatan telah rosak ataupun roboh.

“Pasukan bomba berjalan kaki menyeberang air kumbahan. Atas faktor keselamatan, pihak SESB telah menasihatkan agar berhati-hati disebabkan penyambungan letrik haram yang terlalu banyak.

“PUNCA KEBAKARAN MASIH DALAM SIASATAN. PASUKAN PENYIASATAN MASIH DI LOKASI DAN MENGALAMI SEDIKIT KELEWATAN KERANA RISAU MASIH ADA WAYAR-WAYAR PENYAMBUNGAN ELEKTRIK SECARA HARAM YANG MASIH HIDUP.

“Pasukan bomba hanya menerima panggilan setelah kebakaran berlaku dan tidak menurut serta dalam operasi membabitkan pihak berkuasa,” jelasnya kepada media.

Pasukan bomba hanya bertindak memadam bara api dan memastikan tiada lagi api yang merebak.

Operasi terkawal pada jam dua petang dan tamat pada 4.05 petang tanpa sebarang kemalangan jiwa. –SABAH NEWS