LELAKI YANG MENGHIDAP PENYAKIT SAWAN DITEMUI MATI LEMAS SELEPAS TERJATUH KE LAUT

Penduduk kampung menggunakan sebatang kayu panjang untuk menarik mayat mangsa dari laut di Kampung Hidayat pagi tadi

Oleh Ahmad Tamrin

TAWAU: Seorang lelaki yang dipercayai diserang sawan ketika berada di rumah seorang diri dilaporkan mati lemas selepas terjatuh ke laut.

Mayat Herman Ismail, 25, ditemui penduduk kampung terapung di bawah sebuah rumah lengkap berpakaian di Kampung Hidayat , Batu 4 Jalan Apas pada 6.28 pagi ini.

Mereka kemudian menggunakan sebatang kayu panjang untuk menarik mayat dari laut sebelum memaklum pihak polis berhubung penemuan tersebut.

Mayat mangsa ditemui kira-kira 2 kilometer dari tempat tinggalnya di Kampung Hidayat Hujung, kata Ketua Polis Daerah ACP Peter Umbuas.

Peter berkata ibu mangsa telah memberitahu bahawa pada malam kejadian mangsa berada di rumah seorang diri dan apabila dia (ibu) pulang ke rumah dari kerja pada jam 12.20 tengah malam mendapati mangsa tidak ada di rumah..

“Ibu mangsa cuba mencari mangsa di sekitar kawasan berhampiran rumah mereka namun tidak menemui mangsa sehingga dimaklumkan berhubung penemuan mayat mangsa pagi tadi,”tambah Peter.

Menurut Peter, pemeriksaan awal yang dijalankan terhadap badan mangsa di lokasi kejadian mendapati tidak ada unsur mencurigakan dan juga tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya lagi.

Ibu mangsa turut memberitahu polis bahawa mangsa mempunyai penyakit sawan dan dipercayai terjatuh ke laut ketika diserang penyakit itu.