Oleh – Profesor Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad
Apabila Profesor Datuk Dr. Kasim Md. Mansur melangkah masuk ke Pejabat Naib Canselor pada Oktober 2022, beliau tidak sekadar membawa watak seorang pentadbir, malah membawa jiwa seorang pakar ekonomi yang memahami bahawa universiti adalah enjin pertumbuhan wilayah. Kelebihan utama beliau terpancar melalui tadbir urus yang bersifat “grand design”, berpaksikan pengalaman luas beliau sebagai bekas penjawat awam persekutuan yang pernah berkhidmat di luar ekosistem universiti.
Perspektif ini membolehkan beliau melakukan “diagnosis” yang tepat terhadap kelemahan sistemik dan kekurangan UMS dari lensa seorang birokrat berpengalaman, sekali gus menterjemahkan prosedur perkhidmatan awam yang lebih efisien ke dalam budaya kerja universiti. Sehubungan dengan itu, dalam tempoh empat tahun, beliau telah menenun “Satu Tekad UMS” menjadi sebuah realiti yang diiktiraf di persada antarabangsa, meletakkan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bukan lagi sebagai universiti di pinggiran, tetapi sebagai pemain global yang strategik. Kepimpinan beliau ibarat nakhoda yang bukan sahaja mengenal arus, malah mahir membaca arah angin perubahan zaman.
Garis masa kepimpinan beliau bermula dengan pengukuhan asas pasca-pandemik pada akhir 2022. Beliau menyedari bahawa kekuatan UMS terletak pada kekayaan biodiversiti dan kedudukan geopolitiknya di Borneo. Natijahnya, berbekalkan kebijaksanaan teknokrat yang faham akan selok-belok pengurusan persekutuan, beliau segera merapatkan jurang antara dasar pusat dan pelaksanaan di peringkat lokal. Beliau sering menegaskan aspirasi menjadikan UMS sebagai “The Brain of Borneo”, sebuah metafora yang menuntut universiti ini menjadi pusat intelek dan rujukan utama bagi pembangunan kepulauan ini. Melalui Pelan Strategik UMS 2023–2027, beliau menekankan aspek kebolehpasaran graduan dan pengantarabangsaan. Kesannya terlihat pantas; pada tahun 2023, UMS berjaya mendaki tangga QS World University Rankings ke kelompok 801-1000, satu pencapaian yang membuktikan kualiti akademik di bawah seliaannya mula mendapat perhatian dunia.
Dalam pada itu, kejayaan paling gemilang adalah keupayaan beliau menarik minat rakan strategik global. Di bawah inisiatif beliau, UMS telah menandatangani pelbagai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan institusi terkemuka di Eropah serta beberapa universiti di China dan Jepun bagi penyelidikan marin serta teknologi pertanian terkini. Menzahirkan visi beliau yang tajam, Datuk Dr. Kasim sering mengingatkan warga kampus bahawa “pencapaian hari ini adalah lantai untuk kejayaan hari esok,” bagi memastikan kolaborasi industri-akademik bukan sekadar di atas kertas. Sebagai contoh, penglibatan UMS dalam Sabah Food Valley dan kerjasama dengan agensi antarabangsa dalam kelestarian tenaga telah melonjakkan nama UMS sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan tropika.
Bagi anak-anak Sabah, Datuk Dr. Kasim adalah simbol aspirasi. Beliau membuktikan bahawa seorang anak tempatan dengan pemikiran ekonomi yang tajam mampu mengemudi sebuah institusi gergasi. Data menunjukkan peningkatan kemasukan pelajar antarabangsa ke UMS sebanyak 15% menjelang 2025, yang secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi domestik negeri melalui sektor perkhidmatan dan pendidikan tinggi. Lebih daripada itu, beliau berpegang kepada prinsip bahawa “pendidikan adalah pasport ke masa depan,” dan memastikan UMS kekal relevan dalam ekosistem industri 4.0 dengan memperkasakan tatanan pendigitalan kampus sebuah langkah “ekonomi digital” yang beliau juang sejak hari pertama.
Jelas lagi bersuluh, legasi beliau sehingga 2026 adalah sebuah universiti yang teguh berdikari secara kewangan melalui kelestarian fiskal, pengurusan aset yang cekap, dan pengkomersialan hasil penyelidikan. Anak watan Sabah ini telah menukar naratif universiti daripada sekadar pusat pengajaran kepada sebuah “episentrum” inovasi yang dinamik. Sesungguhnya, budi yang disemai melalui “The Brain of Borneo” telah mematangkan UMS di persada global, sekali gus mengharumkan nama Malaysia di peta pendidikan dunia melalui sinergi ilmu, kematangan birokrasi dan integriti kepimpinan beliau.

More Stories
Suntikan Fiskal Perkasa Latihan Industri
Nuansa Percaturan Politik, Mencatur Politik, dan Politik Catur
16 November: Hari Yang Penting Untuk Sabah