KD Sri Gaya (kiri) dan BRP Miguel Malvar sedang membuat manuver semasa melakukan TMP
Olh Kahar Ali
SANDAKAN : Aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Laut Filipina (TLF) telah melaksanakan program Trilateral Maritime Patrol (TMP) pada hari Rabu.
Inisiatif Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang melibatkan kerjasama 3 buah negara Malaysia, Indonesia dan Filipina kali ini mencatatkan kelainan daripada siri-siri rondaan bersama yang telah dilaksanakan sebelum ini kerana turut melibatkan Pangkalan Laut (PL) TLDM iaitu Kapal Auxiliary TUN AZIZAN (KA TUN AZIZAN) bersama-sama KD SRI GAYA dan BRP MIGUEL MALVAR .
Pertemuan kali ini telah dilaksanakan di sekitar garis sempadan maritim di antara kedua-dua buah negara.
Program kali ini telah bermula dengan pertemuan BRP MIGUEL MALVAR dan KD SRI GAYA yang merapat di posisi bersauh KA TUN AZIZAN. Ketiga-tiga tim pemerintah kapal telah mengadakan perbincangan operasi di mana perkongsian maklumat dilakukan khususnya dalam mengenal pasti kawasan tumpuan (hot spot) jenayah rentas sempadan serta perancangan latihan dilaksanakan dengan KA TUN AZIZAN dijadikan sebagai platform.
Selain daripada itu, ketiga-tiga kru kapal mengadakan aktiviti crossdeck yang melibatkan lawatan ke tempat kerja masing-masing bagi mengenali tatacara dan prosedur yang diguna pakai oleh TLDM dan TLF. Usaha ini akan memantapkan lagi persefahaman di antara anggota TLDM dan TLF serta memberi peluang kepada mereka mengenali rakan sejawat yang akan beroperasi bersama.
Di bawah program TMP, pertemuan ini juga merupakan kali pertama yang melibatkan 3 buah aset di dalam satu pertemuan. Inisiatif TMP melalui program TCA yang telah dilancarkan pada Jun 2017 ini telah menghasilkan impak yang memberansangkan khususnya dalam mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.
Inisiatif rondaan TMP sebegini dilihat dapat meningkatkan keyakinan masyarakat setempat dan antarabangsa ke atas keupayaan negara Malaysia dan Filipina bersama Indonesia dalam mengurus isu keselamatan maritim terutamanya di Laut Sulu dan Laut Sulawesi.
Sejurus selesai sesi perkongsian maklumat dan interaksi melibatkan kru ketiga-tiga buah kapal, latihan bersama di laut telah dimulakan. Antara latihan yang dilaksanakan adalah Combine Boarding Excercise (BOARDEX), Manuvra Taktis (MANTAK), Replenishment at Sea Approach (RASAP) dan Photo Excercise (PHOTEX). Kesemua latihan ini bertujuan meningkatkan keupayaan dan kemahiran warga kapal serta interoperabiliti di antara kedua-dua tentera laut.
Sehingga kini sebanyak 12 siri pertemuan di laut telah dilaksanakan sepanjang tahun 2019 oleh TLDM dan TLF dan diharap program seperti ini dapat diterus serta dipertingkatkan lagi pada masa akan datang. Inisiatif rondaan TMP ini wajar diteruskan kerana ianya telah terbukti memberi manfaat yang baik dan impak yang sangat positif kepada komuniti maritim di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZone) ini.
Selesai pertemuan, ketiga-tiga kapal tersebut kembali meneruskan rondaan di perairan negara masing-masing.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ