Susan (4 dari kiri) dan jawatankuasa USCCAKK menyampaikan jemputan rasmi kepada Frankie (6 dari kiri) ke Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh pada 15 September.
Oleh: Nio James
KOTA KINABALU: Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon telah dijemput ke Festival Tanglung Pertengahan Musim Luruh pada 15 September yang dianjurkan oleh Persatuan Masyarakat Cina Bersatu Sabah Kota Kinabalu (USCCAKK).
Presiden USCCAKK, Datuk Susan Wong Siew Guen menyampaikan jemutan rasmi itu semasa mengetuai jawatankuasa persatuan itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Frankie, di Kementerian Belia dan Sukan, semalam.
Frankie berkata rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah, mempunyai kewajipan untuk menjaga keharmonian kaum di Negeri ini.
Beliau berkata rakyat Sabah mesti mengamalkan persefahaman dan toleransi bersama terhadap masyarakat dari budaya atau agama lain, serta mengelakkan diri daripada menghasut kebencian kaum atau agama yang boleh menghancurkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.
Frankie berkata beliau telah membangkitkan keperluan mendesak untuk menaik taraf piawaian pembangunan dan penjagaan kesihatan, termasuk menangani kekurangan tempat letak kereta di hospital kerajaan di Sabah, kepada Kerajaan Persekutuan.
Beliau juga menggesa persatuan kemasyarakatan untuk menziarahi golongan kurang bernasib baik semasa perayaan Festival Pertengahan Musim Luruh.
Sementara itu, Susan mengucapkan terima kasih kepada Frankie diatas sokongannya terhadap aktiviti kebudayaan Cina.
Beliau berkata Frankie adalah seorang menteri yang rajin dan benar-benar mengambil berat terhadap rakyat.
“Walaupun Frankie adalah wakil rakyat Tanjung Papat, beliau sering dilihat menghadiri aktiviti budaya Cina di seluruh Sabah.
“Ini menunjukkan bahawa Datuk Frankie Poon bukan sahaja pemimpin yang melayani rakyat di Sandakan, tetapi seorang pemimpin yang menjaga rakyat di Sabah.

More Stories
Malaysia satu-satunya negara Asean tak catu bekalan bahan api
Senarai nama calon KP SPRM telah dipersembah kepada Agong
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ