Tangkap Segera Pembunuh Gajah Pygmy – Hamisa

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat (gambar) mendesak supaya pihak berkuasa segera menangkap pihak yang tidak bertanggungjawab membunuh kejam seekor gajah ppgymy di Kalabakan baru-baru ini.

Menurut beliau, tidak yang tidak berperi kemanusiaan itu wajar diambil tindakan keras supaya tidak lagi berulang pada masa yang akan datang.

Katanya, pihak tersebut bukan sahaja sanggup melanggar undang-undang tetapi juga langsung tidak mempunyai rasa belas kasihan kepada haiwan seperti gajah tersebut.

“Saya ingin melahirkan rasa sedih dan terkilan dengan sikap pembunuh yang sanggup membunuh gajah demi meraih keuntungan mudah.

“Mereka ini langsung tidak ada rasa belas kasihan terhadap haiwan yang tidak berdosa demi wang. Malah sanggup bertindak kejam menembak sehingga 70 das tembakan.

“Saya pasti gajah itu cukup menderita dan amat kesakitan sebelum ditemui mati oleh orang awam. Kita mahu pihak berkuasa membalas dengan hukuman sekeras-kerasnya terhadap pihak yang berkenaan,” katanya.

Beliau yang kini dalam lawatan kerja bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Shafie Apdal ke Kalimantan berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Beliau mengulas kes pembunuhan seekor gajah pygmy di Sungai Udin, Kalabakan, Tawau baru-baru ini. Gajah jenis Pygmy Borneo berusia antara 20 atau 30 tahun itu ditemukan mati dengan keadaan bangkainya mempunyai 70 bekas luka dipercayai kesan tembakan peluru.

Hamisa berkata, selain mengambil tindakan terhadap pembunuh, pihak berkuasa juga perlu membanteras dalang yang menjual hasil buruan haiwan terancam seperti gading gajah dan sebagainya.

“Saya amat bimbang dengan masa depan hidupan liar di hutan Sabah ini. Sehubungan itu, langkah pencegahan melalui undang-undang yang ketat amat penting dilaksanakan segera bagi melindungi haiwan berkenaan.

“Kita tahu bahawa sebilangan besar popùlasi haiwan ini semakin berkurangan akibat dibunuh oleh penebang hutan dan pemburu,” ujar beliau