SEMPORNA, 2 Okt (Bernama) — Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah sedang merangka kerjasama dengan pihak swasta bagi pembangunan pendidikan di negeri ini khususnya bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kata Pembantu Menterinya Mohammad Mohamarin (gambar).
Beliau berkata perkara itu selari dengan fokus kerajaan negeri untuk mengembangkan peranan pendidikan berkemahiran tinggi yang relevan dengan permintaan pasaran kerjaya.
“Melalui capaian kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta institusi lain dapat mengenal pasti khasnya berkaitan kursus TVET yang bersesuaian diwujudkan untuk pelajar dan selari dengan permintaan pasaran kerja masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Pendidikan Luar Bandar Mara Negeri Sabah bagi mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Shafie dalam teks ucapannya yang dibacakan Mohammad berkata kerajaan negeri komited membantu institusi latihan vokasional dan kemahiran untuk melahirkan lebih ramai generasi muda sebagai tenaga kerja mahir bagi membangunkan Sabah.
“Perkara itu sekali gus dapat memenuhi keperluan permintaan pengusaha industri di negeri ini,” katanya.
Mohd Shafie turut mengucapkan syabas kepada MARA kerana berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di samping sentiasa mencipta peluang dengan menambah skim baharu atau memperbaiki skim sedia ada untuk memastikan rakyat mendapat peluang terus berjaya dalam sektor keusahawanan, pendidikan serta pelaburan.
Sementara itu, Pengarah MARA Sabah Suhaimi Zainuddin berkata pewujudan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Teknikal yang akan dibina di Ranau masih lagi di peringkat permohonan pengurusan pelan.
Beliau berkata mengikut perancangan awal, kerja pembinaan MRSM Teknikal itu akan mula dilaksanakan pada akhir tahun ini.
Pembinaan MRSM Teknikal Ranau adalah menerusi pakatan strategik MARA dan Petronas dalam menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada anak-anak di negeri ini.

More Stories
UMS Pacu Kampus Lestari Melalui Program Tanam Pokok @ FKJ
Warga UMS Jayakan ‘Jom Baca’ dan Pelancaran Kapsul Masa Digital 2035
Pengurusan makanan dan amalan pengilangan baik penentu kualiti industri makanan negara