Komulakan UPKO bantah pemberian dokumen status warganegara kepada PATI

Donald memalu gong sebagai simbolik perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan Pergerakan Komulakan, Wanita dan Pemuda UPKO, turut kelihatan Ewon dan para pemimpin parti itu.

KOTA KINABALU: Pergerakan Komulakan UPKO menentang sekeras-kerasnya sebarang pemberian dokumen status kewarganegaraan kepada pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana ia bertentangan dengan kedaulatan Sabah.

Ketua Exco Pergerakan Komulakan Datuk Ewon Benedick berkata, sebaliknya masalah itu memerlukan ‘political will’ yang kuat untuk mencari penyelesaian.

Beliau berkata, mereka yang dikenalpasti sebagai pelarian dan PATI perlu dihantar pulang ke negara asal. Manakala anak cucu cicit yang tidak diiktiraf oleh kerajaan di negara asal ibu bapa mereka perlu didokumentasikan mengikut kategori untuk tujuan pemantauan tetapi tidak sehingga ke tahap memberikan status warganegara kepada mereka.

“Dalam memperkasa urustadbir dan pembangunan Sabah serta tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia, kita tidak boleh lalai mempertahankan kedaulatan negeri ini terutama dalam soal kawalan sempadan perairan dan kewarganegaraan.

“Sebagai pimpinan UPKO, kita akan terus bertegas dalam perkara ini. Kita tahu isu dan masalah PATI yang bermula pada 1970-an dan 1980-an kini menjadi semakin kompleks kerana anak-anak kepada pelarian dan pendatang asing lahir di Sabah.

“Malah ada yang sudah bercucu-cicit. Sebahagiannya berkahwin dengan warga tempatan dan anak-anak mereka pula berhadapan dengan pelbagai masalah dokumentasi apabila berlakunya perkahwinan yang tidak didaftar dan daftar lewat kelahiran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan Pergerakan Komulakan, Wanita dan Pemuda UPKO, di Ming Garden Hotel, di sini, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan oleh Setiausaha Agung UPKO Datuk Donald Mojuntin. Turut hadir Ketua Exco Pergerakan Wanita UPKO Datin Seri Dr Jaina Sintian, Pemangku Ketua Exco Pergerakan Pemuda UPKO Kennedy John, naib-naib presiden, ahli-ahli majlis tertinggi dan exco-exco pergerakan Komulakan, Wanita dan Pemuda parti itu.

Mengenai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ewon yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, beliau akan memastikan agar peranan MPKK akan menjadikan isu kedaulatan Sabah sebagai sebahagian daripada modul latihan kepimpinan dan seterusnya urustadbir desa.

“Saya percaya apabila kampung, rumah, ladang dan perusahaan kita bebas daripada pelarian dan pendatang asing tanpa izin, maka Sabah juga akan bebas daripada masalah ini.

“Saya juga telah memanggil Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara ke pejabat saya dan menyatakan pendirian tegas saya dalam perkara menyentuh kedaulatan Sabah bersama-sama dengan rakyat negeri ini,” katanya.

Katanya, selain peranan MPKK, beliau juga menyokong supaya Jawatankuasa Pemantau Rakyat ditubuhkan supaya aduan-aduan berkenaan masalah pelarian dan pendatang asing dapat ditangani dengan lebih baik.

“Penyiasatan Suruhanjaya Diraja Mengenai Pendatang Asing di Sabah sudah lama menjadi pengetahuan umum tetapi rakyat masih menagih tuntutan penyelesaian tuntas.

“Maka Jawatankuasa Rakyat ini boleh menggerakkan penyelesaian jika mereka merasakan belum ada usaha drastik menangani masalah yang kita sudah anggap mother of all problems di Sabah,” katanya.

Ewon berkata, kerajaan negeri juga konsisten dalam perkara ini dan bersepakat menjaga kedaulatan Sabah serta tidak akan memberikan kewarganegaraan kepada pelarian dan PATI.

“Saya meminta kepada semua ahli UPKO, ahli Komulakan dan seluruh rakyat Sabah melaporkan kepada pihak berkuasa polis atau kepada kami sekiranya ada sebarang gerakan yang menimbulkan syak wasangka sehingga menimbulkan kekecohan yang pastinya menjejaskan keharmonian rakyat negeri ini,” katanya.

Mengenai barisan Exco Komulakan yang baharu, beliau berharap mereka dapat menginspirasikan anak-anak muda bukan hanya menyertai kepimpinan parti, tetapi menceburi bidang-bidang keusahawanan dan pendidikan berasaskan teknikal dan vokasional.

“Saya mengajak ahli-ahli Komulakan berhujah agar golongan remaja terus melanjutkan pelajaran sebelum berkahwin, bukannya berkahwin pada usia muda seawal umur 16 tahun atau 18 tahun.

“Saya berharap agar Komulakan dapat mencetuskan lebih banyak idea bagaimana mencegah insiden kemiskinan, supaya tidak ada lagi program pembasmian kemiskinan apabila ianya dapat dicegah,” katanya.

 


Ewon, Donald dan para pemimpin parti itu bergambar bersama.

Ewon ketika menyampaikan ucapan dasar pada majlis itu.