Datuk Maijol Mahap
KOTA KINABALU: (24 Oktober) Penubuhan Gabungan Sabah Bersatu (GBS) oleh mantan-mantan pemimpin Barisan Nasional adalah sesuatu yang sudah dijangka setelah mereka kehilangan pemerintahan negeri Sabah dan Malaysia di PRU 14.
“Ia bukan sesuatu yang memeranjatkan kepada rakyat” kata Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Sabah) Datuk Maijol Mahap ketika diminta mengulas tentang penubuhan GBS seperti yang diumumkan oleh Tan Sri Pairin Kitingan selaku Pengerusi GBS kelmarin.
Beliau menambah, “Namun, kita juga mengetahui bahawa majoriti daripada mereka adalah pemimpin yang berpuluh tahun berada dalam pentadbiran kerajaan Barisan Nasional. Terlintas dalam fikiran saya, apa lagi yang mereka dapat buat terhadap apa yang mereka tidak mampu buat ketika berada dalam kerajaan Barisan Nasional dahulu jika sekiranya mereka berpeluang memimpin kerajaan Sabah sekali lagi”.
Datuk Maijol juga berkata, “Mereka membangkitkan Perjanjian Malaysia 1963 dan autonomi sebagai landasan perjuangan mereka. Tetapi berpuluh tahun lamanya mereka dalam posisi yang mengizinkan tetapi sampai ke mana pencapaian mereka dalam hal ini?”
“Mereka mengatakan bahawa kerajaan Warisan dan Pakatan Harapan bukan saja gagal menjalankan kerja tetapi juga memperlihatkan kelemahan mereka.
Tetapi jangan lupa kerajaan baru ini baru saja memerintah lima bulan dan tentu banyak pengubahsuaian yang perlu dibuat. Ia adalah ibarat seperti sebuah syarikat yang mengalami kerugian besar dan diperlu diganti oleh pengurusan baru dan untuk membuat “turnaround”, pengurusan baru perlu meneliti segala kelemahan yang ada, membuat perubahan yang bersesuaian dan mengolah strategi yang boleh memberi pulangan yang baik.
Oleh itu, rakyat haruslah memberi peluang kepada Ketua Menteri yang baru, Datuk Seri Panglima Shafie Abdal dan pasukan untuk membuat pembaharuan kepada negeri Sabah. Segala usaha beliau untuk memajukan Sabah dan menambah pendapatan negeri menerusi inovasi dan kreativiti pentadbiran beliau haruslah disokong.
Beliau juga mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan Persekutuan dan sudah tentu ia akan memudahkan urusan untuk Sabah. Tambahan lagi, baru lima bulan Pakatan Harapan memerintah, ia sudah menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk mengkaji dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 di peringkat kerajaan Persekutuan.
Ini menunjukkan keseriusan kerajaan untuk mengangkat Sabah sebagai rakan kongsi yang setara dengan Sarawak dan Sememanjung seperti yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamed, Perdana Menteri di Padang Merdeka Kota Kinabalu pada 16 September yang lalu”.
“Saya memandang ke hadapan dengan penuh harapan dan keyakinan bahawa Sabah akan terus maju dalam pemerintahan yang baru” Kata Maijol

More Stories
Calon UPKO Norfadzlina Ramsah terbaik wakil rakyat baharu DUN Labuk
Tanjung Aru Voters at the Heart of Dennison Indang’s Vision for Change
A strategic discussion in Malaysia’s Sabah